“Saya Berperang Supaya Kami Tak Berpisah” – Kamal Adli Lantang Bersuara Demi Rumah Tangga Selamat

6 hours ago 5

Wajahnya tidak lagi setenang dulu. Senyuman yang pernah menjadi lambang kebahagiaan kini tampak tawar, seolah disembunyikan di sebalik mata yang sarat dengan seribu satu rasa. Begitulah keadaan pelakon popular, Kamal Adli, yang kini berdepan badai rumah tangga bersama isteri tercinta, Uqasha Senrose.

Biar langkahnya masih tegap dan tutur katanya tenang di hadapan khalayak, namun jauh di sudut hati, hanya Tuhan yang tahu betapa hancurnya jiwa seorang lelaki yang masih sarat dengan kasih dan harapan. Kamal mengakui, bukan mudah menjadi lelaki dalam situasi begini,  menahan rasa, menjaga maruah dan dalam masa sama cuba mempertahankan keluarga yang sedang diuji.

Foto – @kamaladli (IG)

“Ada masa air mata hampir menitis, tapi ego dan tanggungjawab sebagai suami buat saya kuatkan diri. Sekarang saya belajar untuk kembali kepada fitrah, iaitu mengadu hanya pada Allah,” katanya ketika ditemui pada sidang media drama Bahagia Yang Tertangguh di DADI Cinema, Pavilion Kuala Lumpur.

Menurut Kamal, dia memilih untuk berdiam diri dan tidak membuka aib mana-mana pihak kerana percaya setiap ujian yang datang pasti ada hikmah tersendiri. “Sejak kecil mak ayah dah ajar, apa pun yang kita rasa, cerita pada Allah dulu sebab hanya Dia yang faham. Saya tak mahu burukkan sesiapa. Cukup saya minta orang doakan yang terbaik untuk kami,” ujarnya dengan nada perlahan.

Walaupun berdepan dugaan rumah tangga yang berat, Kamal melihat segala yang berlaku sebagai cara Allah mendidik hati agar lebih kuat dan matang. Katanya, lima tahun pertama dalam perkahwinan adalah tempoh paling mencabar buat setiap pasangan, dan dia yakin ujian ini juga bukan tanpa sebab.

“Saya selalu pesan pada diri, semua yang berlaku pasti ada kebaikan. Dan saya harap kebaikan itu bukan untuk saya seorang, tapi untuk kami sebagai keluarga untuk saya, isteri dan anak. Saya bukan nak raih simpati atau kasihan sesiapa. Cuma saya nak orang tahu, saya masih berjuang untuk keluarga saya. Saya bukan berperang untuk berpisah, saya berperang supaya kami tak berpisah,” katanya penuh emosi.

Pelakon filem Takluk: Lahad Datu ini turut mengakui bahawa sokongan peminat di media sosial banyak membantunya untuk terus kuat dan positif. Setiap mesej, doa dan kata semangat yang diterima menjadi penawar dalam kesedihan yang sedang ditanggung.

“Saya bersyukur sebab ramai yang masih sokong saya. Kadang-kadang saya rasa mereka macam kawan sendiri. Ada yang bagi nasihat, ada yang cuma hantar doa ringkas, tapi semua itu sangat bermakna. Saya tahu ada juga yang sampai ‘spam’ ramai-ramai untuk pertahankan saya. Serius, saya betul-betul terharu dan nak ucap terima kasih kepada semua,” tambahnya dengan senyuman yang cuba disembunyikan rasa pilu.

Untuk rekod, krisis rumah tangga Kamal dan Uqasha mencapai kemuncak apabila Uqasha, atau nama sebenarnya Nik Zaris Uqasha Senrose Nik Sen, 33, memfailkan permohonan cerai terhadap Kamal di Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan pada 1 Oktober lalu. Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis pernikahan indah di Janda Baik, Pahang, dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang kini berusia 19 bulan.

Dalam diam, Kamal terus menggenggam harapan bahawa badai yang datang hanyalah sementara dan suatu hari nanti, sinar bahagia akan kembali menyapa keluarganya.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |