Rapid On-Demand Diselaraskan RM2 Mulai 1 Februari, Netizen Luah Rasa Kecewa Waktu Menunggu

2 days ago 12

Perkhidmatan Rapid On-Demand (ROD) kendalian Prasarana Malaysia Berhad terus merekodkan pertumbuhan positif dengan jumlah penumpang harian mencecah lebih 19,000 orang pada Disember 2025.

Namun disebalik angka memberangsangkan itu, penyelarasan tambang baharu yang bakal berkuat kuasa tidak lama lagi mengundang pelbagai reaksi dalam kalangan pengguna pengangkutan awam.

Mulai Februari 2026, tambang Rapid On-Demand akan diseragamkan kepada RM2 bagi setiap perjalanan, sekali gus menamatkan tempoh tambang promosi yang diperkenalkan sejak fasa Proof of Concept (POC) pada 2023.

Lebih mencuri perhatian, pas seperti My50 dan pas harian tidak lagi boleh digunakan untuk perkhidmatan van ROD, walaupun kawasan tertentu sebelum ini bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan tersebut selepas laluan bas dihentikan.

Aplikasi Ditambah Baik, Namun Aduan Tetap Ada

Prasarana memaklumkan aplikasi Rapid On-Demand telah melalui beberapa penambahbaikan sejak November lalu, termasuk kestabilan sistem, paparan maklumat perjalanan yang lebih jelas serta pengurusan masa menunggu yang lebih konsisten.

Namun, realiti di lapangan menurut pengguna tidak semestinya seindah di atas kertas.

Netizen Bersuara: ‘On-Demand Tapi Menunggu Sampai Sejam’

Di Thread, ramai pengguna meluahkan rasa kecewa terhadap waktu menunggu yang disifatkan “tak masuk akal”, khususnya di kawasan yang hanya dilayan oleh beberapa buah van untuk zon yang terlalu besar.

via Thread /@yusgalaxy1996

Antara rungutan yang kerap dikongsi:

  • Waktu menunggu mencecah 30 minit hingga 1 jam
  • Mesej “high demand” ketika membuat tempahan
  • Van perlu meliputi kawasan luas tanpa pemantauan khusus
  • Perjalanan jadi lebih lambat berbanding bas berjadual sebelum ini

Ada juga yang mempersoalkan rasional menamatkan penggunaan pas bulanan dan harian, sedangkan kos operasi van dilihat lebih rendah berbanding bas besar.

Dalam masa sama, terdapat juga suara yang mempertahankan penyelarasan tambang RM2, menyifatkannya sebagai munasabah jika dibandingkan dengan perkhidmatan e-hailing, selain berharap pengguna lebih berdisiplin ketika membuat tempahan.

via Thread /@fazlinmaisarah_
via Thread /@lamalama.jadibukit
via Thread /@milkkypuff

Antara Keperluan Operasi & Realiti Pengguna

Secara keseluruhan, Rapid On-Demand jelas memainkan peranan penting sebagai pengangkutan pertama dan akhir, terutama di kawasan yang tidak diliputi laluan bas tetap.

Namun, sentimen awam menunjukkan bahawa isu kapasiti, perancangan zon dan kebolehpercayaan perkhidmatan masih perlu diberi perhatian serius.

Dalam usaha menggalakkan rakyat terus memilih pengangkutan awam, keseimbangan antara kelestarian operasi dan keselesaan pengguna dilihat sebagai kunci utama, sesuatu yang kini menjadi perhatian hangat orang ramai.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |