Dalam suasana ekonomi yang semakin mencabar, ramai mula mencari peluang untuk bertahan dan berkembang sama ada dengan memulakan perniagaan kecil atau mengukuhkan syarikat sedia ada. Menariknya, tahun 2026 menyaksikan satu langkah proaktif daripada Suruhanjaya Syarikat Malaysia yang tampil dengan beberapa inisiatif baharu demi membantu rakyat Malaysia terus ‘survive’ dalam dunia bisnes.
Bukan sekadar cakap kosong, kali ini SSM tampil dengan empat inisiatif utama yang bukan sahaja meringankan beban usahawan, malah membuka lebih banyak peluang kepada golongan yang sebelum ini mungkin terpinggir termasuk B40, OKU, pelajar dan juga warga emas.
Apa Sebenarnya Inisiatif SSM 2026?
Secara ringkasnya, Inisiatif SSM 2026 adalah usaha menyeluruh untuk memperkukuh ekosistem perniagaan negara dengan memberi fokus kepada dua perkara utama pematuhan korporat dan pengurangan kos kepada usahawan.
Langkah ini juga selari dengan keperluan semasa di mana ramai usahawan kecil dan sederhana (PMKS) berdepan cabaran dari segi kewangan, dokumentasi dan akses kepada sistem perniagaan yang sah.
Lebih menarik, pelaksanaan inisiatif ini dibuat secara berperingkat:
- 16 April 2026 – Dua inisiatif pertama bermula
- 1 Jun 2026 – Dua lagi inisiatif menyusul
4 Inisiatif Utama SSM 2026
1. Klinik Pematuhan & Kempen Pemulihan Dokumen
Bagi syarikat yang ‘tersangkut’ dengan dokumen tertunggak, inilah peluang kedua yang sangat ditunggu.
Melalui inisiatif ini, syarikat boleh:
- Dapat nasihat terus daripada pegawai SSM
- Serah semula dokumen seperti Penyata Tahunan & Penyata Kewangan
- Nikmati pengurangan kompaun sehingga lebih 90%
Tempoh kempen pula berlangsung hingga 30 September 2026, jadi memang ada masa untuk ‘clear backlog’.
2. Skim 1 OKU 1 Perniagaan (S1O1P)
Golongan OKU turut diberi perhatian menerusi skim ini yang membuka peluang untuk mereka menceburi bidang perniagaan secara rasmi.
Antara manfaat:
- Pendaftaran perniagaan percuma
- Pembaharuan tahunan juga percuma
- Pengecualian fi sehingga RM60
Satu langkah inklusif yang bantu lebih ramai berdikari memang win!
3. Skim Pendaftaran Percuma B40 & Pelajar (SPPP)
Kalau anda dalam kategori B40 atau pelajar IPT, ini peluang emas untuk mula bisnes tanpa modal besar.
Melalui skim ini:
- Pendaftaran perniagaan percuma sehingga 2 tahun
- Jimat kos sehingga RM120 (nama tred)
- Sesuai untuk side income atau bisnes kecil-kecilan
Bak kata Gen Z, ini memang “starter pack usahawan”!
4. Skim Pendaftaran Percuma Warga Emas (SPPWE)
Jangan tak tahu, warga emas pun kini ada ruang untuk aktif dalam dunia bisnes.
Melalui skim ini:
- Individu berumur 60 tahun ke atas boleh daftar perniagaan secara percuma
- Boleh jana pendapatan tambahan
- Kekal aktif dan produktif
Menariknya, langkah ini juga selari dengan realiti Malaysia yang menuju ke arah negara menua menjelang 2030.
Apa Manfaat Kepada Rakyat?
Kalau dilihat secara keseluruhan, inisiatif ini bukan sekadar bantuan biasa. Ia sebenarnya memberi impak besar kepada ramai pihak:
- Kurangkan kos permulaan perniagaan
- Bantu syarikat ‘hidup semula’ dari isu dokumentasi
- Buka peluang kepada golongan yang kurang akses
- Galakkan lebih ramai daftar perniagaan secara sah
Dalam erti kata lain, lebih ramai boleh mula bisnes tanpa rasa terbeban.
Siapa Yang Paling Untung?
Antara golongan yang bakal terima manfaat:
- Usahawan B40
- Pelajar IPT & institusi kemahiran
- Golongan OKU
- Warga emas
- Syarikat dengan dokumen tertunggak
Pendek kata, hampir semua lapisan masyarakat ada ‘spot’ dalam inisiatif kali ini.
Kalau ikut pemerhatian Murai, inisiatif ini memang nampak realistik dan dekat dengan keperluan rakyat. Dalam keadaan kos sara hidup yang makin meningkat, peluang untuk mulakan bisnes tanpa kos tinggi memang sesuatu yang ramai tunggu. Yang penting sekarang, tinggal nak ambil peluang atau tidak saja. Sebab bila peluang dah depan mata, sayang kalau dilepaskan begitu saja.

3 hours ago
2
















































![[VIDEO] Gelagat Anak Kedua Anzalna Buat Ramai Berdekah- “Tengah Bina Snowman Tiba-Tiba Nak Susu”](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/01/4-3.webp)





