Lepasan SPM Ambil Perhatian! JPA Buka 640 Tawaran Penajaan Tahun 2026

6 hours ago 4

Rezeki buat pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)! Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) kini menawarkan sebanyak 640 penajaan kepada lepasan SPM sebagai usaha berterusan melahirkan lebih ramai bakat berkualiti yang mampu menyumbang kepada pembangunan negara pada masa depan.

Menurut JPA, penawaran tersebut adalah sebahagian daripada komitmen kerajaan dalam memastikan pelajar-pelajar terbaik negara mendapat peluang melanjutkan pengajian di institusi pendidikan tinggi terkemuka sama ada di dalam mahupun luar negara. Inisiatif ini juga selari dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang mahu memperkukuhkan pembangunan modal insan dalam bidang strategik dan kritikal.

Empat Program Penajaan Ditawarkan

Bagi tahun 2026, sebanyak 30 tempat ditawarkan menerusi Program Penajaan Nasional (PPN), manakala Program Khas Lepasan SPM Dalam Negara (LSPM) menyediakan 200 slot. Selain itu, Program Khas Jepun, Korea, Perancis dan Jerman (JKPJ) menawarkan 140 tempat, sementara Program Khas JPA-MARA (PKJM) memperuntukkan sebanyak 270 slot kepada pelajar yang layak.

Peluang Belajar Di Dalam Dan Luar Negara

Apa yang menarik, penajaan ini meliputi pelbagai bidang penting termasuk kejuruteraan, sains dan teknologi serta sains sosial. Malah, penerima yang berjaya berpeluang menyambung pengajian di beberapa negara terkenal seperti Amerika Syarikat, Australia, United Kingdom, Jepun, Korea, Perancis, Jerman dan New Zealand selain universiti-universiti terbaik dalam negara.

Semakan Keputusan Sudah Dibuka

Bagi calon yang telah membuat permohonan, semakan keputusan penajaan boleh dilakukan secara dalam talian bermula hari ini sehingga 22 Jun pada jam 5 petang menerusi sistem yang disediakan oleh JPA. Semua pelajar yang berjaya pula akan menerima penajaan di bawah Pinjaman Boleh Ubah Berasaskan Merit Akademik (PBUA), iaitu inisiatif yang diperkenalkan sejak tahun lalu bagi mengiktiraf kecemerlangan akademik pelajar.

Pemangkin Pemimpin Masa Depan

MURAI ucapkan tahniah kepada semua pelajar yang berjaya menerima tawaran ini. Peluang seperti ini bukan sahaja membuka jalan ke menara gading, malah menjadi langkah awal dalam membentuk generasi profesional dan pemimpin masa depan yang berilmu, berintegriti serta mampu membawa negara ke tahap yang lebih tinggi. Jangan lupa semak keputusan masing-masing!

Thumbs

Thumbs

2

Hearts

Hearts

3

Haha

Haha

1

Star

Star

1

Sad

Sad

Weary

Weary

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |