Nak Berbuka Cepat, Tapi Order Last Minute? – Rider Luah Rasa Kecewa, Minta Pelanggan Lebih Bertimbang Rasa

7 hours ago 4

Bulan Ramadan sememangnya waktu paling sibuk bagi industri penghantaran makanan. Setiap petang menjelang waktu berbuka, ribuan pesanan masuk serentak apabila orang ramai memilih untuk menikmati hidangan tanpa perlu keluar rumah.

Namun di sebalik kemudahan itu, ada juga cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para penghantar makanan.

Baru-baru ini, satu perkongsian daripada seorang rider di Thread mencetuskan perbincangan hangat apabila dia meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir pelanggan yang membuat pesanan terlalu lewat tetapi mengharapkan makanan sampai sebelum azan Maghrib.

“Kalau Nak Cepat, Orderlah Awal”

Dalam luahannya, rider tersebut menjelaskan bahawa dia sebenarnya tidak berniat untuk memarahi pelanggan, lebih-lebih lagi dalam bulan puasa.

Namun begitu, dia berharap pelanggan dapat menggunakan sedikit pertimbangan sebelum membuat pesanan.

Menurutnya, ramai pelanggan membuat pesanan pada saat-saat akhir tetapi masih mengharapkan penghantaran dilakukan dengan pantas.

Hakikatnya, waktu hampir berbuka merupakan waktu paling sibuk bagi semua pihak, bukan sahaja rider, malah restoran juga menerima jumlah pesanan yang sangat tinggi.

Situasi itu menjadi lebih mencabar apabila terdapat masalah lain seperti lokasi pin yang tidak tepat, restoran mengambil masa lama untuk menyiapkan makanan, atau faktor tidak dijangka seperti sekatan jalan raya dan kemalangan.

“Kalau memang tak boleh tunggu dan nak makanan sampai cepat sebelum berbuka, lebih baik pergi terus ke kedai dan beli sendiri,”

Waktu Puncak Buat Sistem Jadi Sesak

Meninjau ke ruangan komen, rata-rata netizen bersetuju dengan pandangan rider tersebut. Ada yang menyatakan bahawa pesanan untuk berbuka sepatutnya dibuat lebih awal bagi mengelakkan kesesakan pada waktu puncak.

Seorang pengguna berkongsi pengalaman bekerja di sebuah vendor makanan dan mengakui dia sendiri terkejut melihat jumlah pesanan yang masuk secara mendadak sekitar jam 7 malam.

“Aku pun tak faham kenapa pukul 7 baru ramai order. Macam semua orang expect rider boleh ambil dan hantar terus,”

Malah ada juga pengusaha restoran yang memilih untuk menutup tempahan lebih awal bagi mengelakkan tekanan ketika waktu puncak.

Ada yang menetapkan pesanan terakhir sekitar jam 6.30 petang bagi memastikan semua penghantaran dapat diselesaikan dengan baik.

via Thread /@roughsystem
via Thread /@ghostnobodyy

Pelanggan Juga Kongsi Pengalaman

Dalam masa sama, ada juga pelanggan yang berkongsi pengalaman menerima makanan lewat walaupun sudah membuat pesanan lebih awal.

Seorang netizen menceritakan bahawa dia pernah membuat pesanan sekitar jam 6.30 petang tetapi makanan hanya tiba sekitar jam 8 malam. Namun dia tidak menyalahkan rider kerana restoran sendiri memaklumkan pesanan mengambil masa lebih lama untuk disiapkan.

Bagi mengelakkan situasi sama, ada yang mencadangkan supaya pesanan dibuat seawal jam 5 petang jika mahu makanan sampai tepat pada waktu berbuka.

via Thread /@masaktime3

Masa Untuk Lebih Bertimbang Rasa

Perkongsian ini secara tidak langsung mengingatkan orang ramai bahawa di sebalik setiap pesanan makanan, terdapat ramai pihak yang bekerja keras untuk memastikan semuanya berjalan lancar.

Bulan Ramadan bukan sahaja tentang menahan lapar dan dahaga, tetapi juga tentang kesabaran serta bertimbang rasa terhadap orang lain.

Mungkin bagi pelanggan, satu pesanan hanyalah perkara kecil. Namun bagi rider dan pekerja restoran, ratusan pesanan yang datang serentak menjelang waktu berbuka boleh menjadi cabaran besar.

Jadi sebelum menekan butang “order”, mungkin ada baiknya kita merancang lebih awal  supaya semua orang dapat berbuka dengan lebih tenang.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |