Masalah Teknikal Lagi? Laluan Kelana Jaya Kembali Uji Kesabaran Pengguna Waktu Puncak

9 hours ago 7

Perkhidmatan tren kendalian Rapid KL sekali lagi menjadi perhatian apabila pengguna meluahkan rasa kecewa susulan gangguan pada waktu puncak pada pagi hari.

Menerusi satu perkongsian di Thread, seorang individu mempersoalkan ketiadaan notis atau pengumuman awal berhubung kelewatan yang berlaku, sehingga menyukarkan orang ramai menyusun perjalanan ke tempat kerja.

Difahamkan, sekitar jam 8.11 pagi, keadaan di Stesen LRT Masjid Jamek dilaporkan sesak dengan penumpang memenuhi platform dan ruang menunggu.

Gangguan Ketika Peak Hour, Pengguna Terpaksa Tukar Pelan

Antara insiden yang dikongsikan termasuk tren bernombor 160 yang dalam perjalanan ke Gombak dilaporkan berpatah balik dari Taman Bahagia sebelum ke Lembah Subang . Penumpang terpaksa turun dan menukar platform tanpa penjelasan terperinci, sekali gus menyebabkan kelewatan berganda.

Ada juga pengguna yang mendakwa tren tiba-tiba diumumkan “out of service” ketika hanya berbaki beberapa stesen sebelum destinasi. Situasi itu memaksa semua penumpang keluar dan beratur semula menunggu tren seterusnya yang kebiasaannya sudah pun padat.

via Thread /@zizizahar
via Thread /@darshan_26

Netizen Luah Tekanan Emosi

Meninjau ruangan komen, rata-rata pengguna meluahkan rasa marah dan penat kerana isu sama didakwa berulang sejak awal Ramadan.

Seorang pengguna berkongsi bagaimana dia sudah keluar rumah seawal 7.15 pagi dengan jangkaan tiba ke pejabat sebelum jam 8.00 pagi, namun tren dikatakan “stuck” di setiap stesen sehingga menyebabkan dia tiba lewat hampir setengah jam. Ada juga yang terpaksa mengambil cuti kecemasan (EL) kerana tidak sempat sampai tepat waktu.

Selain itu, terdapat rungutan mengenai tren yang sering mengalami masalah ketika waktu puncak, namun kelihatan lancar ketika luar waktu sibuk.

via Thread /@fnsarah.hisham

Persoalan seperti “masa tak peak, buat apa?” turut dibangkitkan, mencerminkan rasa tidak puas hati terhadap pengurusan operasi.

Isu kawalan orang ramai turut disentuh apabila ada pengguna mendakwa keadaan di Stesen LRT Pasar Seni terlalu sesak sehingga mencetuskan situasi cemas.

Eskalator yang masih membenarkan kemasukan penumpang walaupun platform sudah padat dikatakan meningkatkan risiko keselamatan.

Dalam masa sama, segelintir pengguna mengambil pendekatan lebih seimbang dengan menghargai usaha petugas barisan hadapan yang bertungkus-lumus menyelesaikan gangguan. Mereka berharap sistem kendalian Prasarana Malaysia Berhad dapat ditambah baik secara menyeluruh dan berpanjangan.

via Thread /@waterunderfire

Pengguna Mahu Penyelesaian Jangka Panjang

Walaupun istilah masalah teknikal sering digunakan sebagai penjelasan, ramai berpendapat maklumat lebih terperinci dan pelan tindakan jelas perlu dikongsi kepada umum.

Sebagai antara laluan utama pengangkutan awam di Lembah Klang, kestabilan operasi amat penting bagi jutaan pengguna harian yang bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan ini untuk ke tempat kerja dan urusan harian.

Bila kelewatan jadi rutin dan bukan lagi luar jangka, ia bukan sekadar isu teknikal tetapi ianya soal kepercayaan.

Pengguna tidak menuntut yang mustahil, cuma mahukan sistem yang konsisten, telus dan tidak lagi menguji sabar setiap pagi terutamanya di bulan Ramadan yang mulia ini.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |