Kelip-Kelip Ada Di Terengganu? 5 Tempat Wajib Singgah Kalau Datang Terengganu!

3 hours ago 2

Terengganu terus menjadi destinasi percutian pilihan ramai, terutama bagi mereka yang ingin seketika melarikan diri daripada kesibukan bandar. Keindahan pantainya yang menawan, suasana yang tenang, serta kekayaan budaya negeri Pantai Timur ini membuatkan Terengganu sentiasa meninggalkan kesan di hati pelancong. Tidak hairanlah, setiap tahun negeri ini menerima kunjungan ramai pelawat dari dalam dan luar negara.

1. Pasar Payang, Ikon Beli-Belah Terengganu

via Instagram @pasarpayangterengganu

Pasar Payang atau dipanggil Pasar Besar Kedai Payang sememangnya tidak perlu diperkenalkan lagi. Terletak di berhampiran dengan Jeti Shahbandar, Kuala Terengganu dan pasar ikonik ini menjadi tumpuan utama pelancong yang ingin mendapatkan pelbagai barangan tempatan. Daripada kain batik, songket dan sutera Terengganu sehinggalah ke tudung, pakaian serta cenderahati, semuanya boleh didapati di sini.

Bukan itu sahaja, Pasar Payang juga terkenal dengan jualan makanan tradisional seperti keropok lekor, keropok keping, ikan kering dan manisan tempatan. Suasana pasar yang sentiasa meriah serta peniaga yang peramah menjadikan pengalaman membeli-belah lebih menyeronokkan dan penuh warna.

Alamat: Jalan Kampung Daik, 20200 Kuala Terengganu, Terengganu

2. Turtle Alley, Tarikan Unik Di Kuala Terengganu

via @turtle alley

Terengganu yang sinonim dengan penyu turut mempunyai satu lorong unik dikenali sebagai Turtle Alley, yang wajib dikunjungi terutama bagi pencinta seni dan alam semula jadi. Lorong khas yang didedikasikan kepada haiwan ikonik negeri ini dihias dengan pelbagai elemen seni kreatif seperti mural berwarna-warni dan seni mozek. Menariknya, setiap karya seni di sini mempunyai jalan cerita tersendiri, sekali gus memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

Terletak di kawasan Chinatown atau Kampung Cina, Kuala Terengganu, Turtle Alley mudah diakses oleh pelancong. Antara tarikan utama di sini ialah seni ‘pairing metallic’ yang diinspirasikan daripada cerita The Little Turtle karya Dr. Chan Eng Heng, seorang pemulihara penyu tempatan. Gabungan seni, elemen pendidikan dan mesej pemuliharaan menjadikan Turtle Alley bukan sahaja cantik dipandang, malah penuh nilai dan bermakna untuk dikunjungi.

Alamat: 219, Jalan Kampung Cina, 20100 Kuala Terengganu, Terengganu

3. Pulau Kapas, Terengganu

via @kapasisland

Pulau Kapas merupakan sebuah pulau peranginan yang cantik dan terletak kira-kira 20 hingga 30 minit perjalanan menaiki bot dari Jeti Marang. Lokasinya yang sangat dekat dengan tanah besar menjadikan pulau ini pilihan ideal buat mereka yang mempunyai masa percutian terhad tetapi tetap ingin menikmati suasana pulau yang tenang dan menyegarkan.

Keindahan Pulau Kapas terserlah melalui perairannya yang jernih dan bersih, menjadikannya lokasi popular untuk aktiviti snorkeling. Pengunjung berpeluang menyaksikan sendiri keindahan hidupan laut yang berwarna-warni di sekitar pulau ini. Menariknya, Pulau Kapas juga menjadi antara destinasi pilihan untuk aktiviti mencandat sotong, terutamanya dari bulan Jun hingga Julai. Jika berkunjung ke Terengganu, Pulau Kapas sememangnya antara lokasi yang wajar dimasukkan dalam senarai percutian.

Alamat: Pulau Kapas, Terengganu

4. Kelip-Kelip Sungai Yak Yah, Pengalaman Berbeza Waktu Malam

via @InterestingplaceinTerengganu

Sungai Yak Yah menawarkan pengalaman unik yang boleh menyempurnakan percutian di Terengganu, termasuk aktiviti melihat kelip-kelip dan river cruise menyusuri sungai. Aktiviti melihat kelip-kelip biasanya berlangsung antara jam 8 hingga 10 malam, dari bulan Julai hingga Oktober, ketika kumbang bercahaya memenuhi pokok-pokok di sekitar sungai, mencipta pemandangan yang memukau.

Bagi mereka yang ingin menikmati river cruise, perkhidmatan bot disediakan setiap hari kecuali hari Jumaat. Pengunjung boleh ke Jeti Sungai Yak Yah untuk menyelusuri sungai sambil menikmati keindahan flora dan hutan paya bakau yang menghijau. Perjalanan pergi dan balik mengambil masa kira-kira 90 minit, cukup untuk merasai ketenangan dan keindahan alam semula jadi Terengganu.

Alamat: Taman Rekreasi & Zoo Kemaman, Majlis Perbandaran Kemaman, 24000 Kemaman, Terengganu

5. Pulau Redang, Pilihan Ramai Pengunjung

via @DiscoveryTerengganu

Pulau Redang merupakan antara destinasi paling popular di Terengganu, terkenal dengan keindahan air lautnya yang jernih serta terumbu karang yang kaya dengan pelbagai spesies, dikatakan mencecah sehingga 500 jenis. Keindahan semula jadi ini menjadikan pulau ini syurga bagi pencinta laut dan aktiviti snorkeling atau menyelam.

Selain keindahan alam, Pulau Redang menawarkan pelbagai pilihan penginapan menarik, sesuai untuk percutian keluarga mahupun pasangan yang ingin berbulan madu. Untuk ke pulau ini, pengunjung boleh menaiki bot dari Jeti Shahbandar dengan perjalanan sekitar 1 jam setengah, manakala jika bertolak dari Jeti Marang, hanya mengambil masa kira-kira 45 minit.

Alamat: Pulau Redang, 21090 Kuala Terengganu

Secara keseluruhan, Terengganu menawarkan pelbagai tarikan menarik yang mampu memenuhi cita rasa semua jenis pelancong. Dari lokasi membeli-belah ikonik, tarikan alam semula jadi hingga ke keindahan pantai dan pulau, semuanya ada di sini. Tidak hairanlah Terengganu terus menjadi destinasi percutian pilihan ramai setiap tahun.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |