PU Riz Luah Masih Trauma Isu Karpet Nilai – “Setiap Kali Ingat, Saya Peluk Bilal Dan Minta Maaf”

7 hours ago 6

Empat tahun sudah berlalu, namun pendakwah bebas dan personaliti televisyen, PU Riz masih berdepan sindiran dan gurauan pedih daripada netizen berkaitan isu lama dakwaan merentas negeri semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 2021. Walaupun kes itu telahpun diselesaikan dan tiada dakwaan dibuat terhadapnya, suami kepada pelakon dan usahawan Neelofa itu mengakui masih terluka apabila insiden tersebut terus dijadikan bahan jenaka hingga ke hari ini.

Dalam hantaran panjang yang dimuat naik di laman sosial, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail, 30, menulis dengan nada kecewa dan penuh emosi bahawa kesabaran dirinya kini benar-benar diuji.

“Amati baik-baik apa yang ingin saya tulis kerana emosi saya benar-benar penat dan saya rasa ‘it’s about time’ mulut-mulut yang tiada hemat dan hormat pada agama diberi peringatan. Peristiwa itu menjadi sebahagian daripada sejarah hidup saya. Buat kali pertama, saya menempuh satu peristiwa durjana yang perit ditelan,” katanya.

Menurutnya, meskipun mahkamah sudah pun membuat keputusan, kesan terhadap dirinya amat mendalam dan meninggalkan parut yang sukar dipadam. Lebih memilukan, insiden itu berlaku ketika isterinya sedang sarat mengandung anak sulung mereka, Bilal, membuatkan rasa bersalahnya berganda.

“Kita yang tua bangka ini pun tertekan, apatah lagi keadaan anak sulung yang masih dalam rahim ibunya. Tuhan sahajalah yang tahu. Kadang-kadang hadir suara kecil berbisik dalam fikiran, ‘kau bukan seorang bapa yang baik’. Sehingga hari ini, setiap kali mengenangkan peristiwa itu, saya akan memeluk Bilal dan berbisik padanya, ‘Maafkan Abah, Bilal’,” luahnya.

Lebih mengecewakan, Haris turut mendedahkan bahawa salah seorang rakan yang pernah dianggap sahabat menjadikan isu berkenaan sebagai bahan lawak dalam sebuah program hiburan. Katanya, dia dijemput untuk memainkan watak ustaz, namun tidak dimaklumkan bahawa isu peribadinya akan dijadikan bahan jenaka.

“Belum lagi saya cerita mengenai pelawak yang kontang idea, mengotak-katikkan maruah saya di hadapan ribuan, bahkan jutaan rakyat Malaysia. Tambahan pula, yang mempelawa itu sahabat baik dalam program Pencetus Ummah suatu ketika dahulu. Dengan sangkaan baik dan persahabatan yang kukira suci, dirobek begitu sahaja demi mengejar rating,” ujarnya.

Meskipun masih terasa, Haris mengakui telah memaafkan individu tersebut, namun tidak menafikan insiden itu memberi tempias besar terhadap keluarganya.

“Jika masa boleh diundurkan, dan jika wujud butang padam, inilah detik yang ingin saya padam jauh-jauh dari hidup saya. Percayalah, ia bukan sesuatu yang mudah buat keluarga kami. Walaupun hampir empat tahun berlalu, komentar seperti ‘Karpet ada jual tak?’ dan ‘Nilai kat Selangor ke?’ masih muncul di media sosial,” katanya dengan nada kesal.

PU Riz menegaskan bahawa luahannya bukan bertujuan untuk menuntut simpati, sebaliknya hanya mahu berkongsi perasaannya sebagai manusia biasa yang turut mempunyai had sabar.

“Tiada apa yang boleh saya lakukan. Tulisan ini juga bukan satu desakan atau permintaan. Suara sumbang seperti, ‘kan kau yang cari hal, kau tanggunglah’, ‘dah buat, lepastu nak koyak’. Saudara, kita negara hukum. Bukankah mahkamah tempat kita merujuk dan menegakkan keadilan? Kes sudah dibicarakan dan keputusan sudah dikeluarkan. Ini sekadar luahan kekesalan. Saya tidak mengharapkan apa-apa, kecuali urusan baik saya disampaikan Tuhan,” katanya mengakhiri hantaran tersebut.

Untuk rekod, PU Riz dan Neelofa tidak didakwa selepas Pejabat Peguam Negara mengambil kira hasil siasatan kes rentas negeri membabitkan mereka ke sebuah premis menjual karpet di Nilai 3, Negeri Sembilan pada Mei 2021.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |