Rumah Lelong Di Semenyih Ini Dikaitkan Dengan Filem Seram ‘Ju On’. Kenapa?

11 hours ago 8

MURAI terdiam seketika membaca satu perkongsian yang tular di Threads. Bukan kerana harga rumah yang menjunam drastik, tetapi kerana kisah hitam yang terpalit pada sebuah rumah teres dua tingkat end lot di Eco Majestic, Semenyih. Sampai ada yang kaitkan dengan Ju On?

Rumah yang sebelum ini dianggarkan bernilai sekitar RM980,000, kini dikatakan boleh dilelong pada harga serendah RM571,000. Namun, penurunan harga itu bukan sekadar soal pasaran hartanah, ia berpunca daripada tragedi pembunuhan yang pernah berlaku di dalam rumah tersebut.

Menurut perkongsian di Threads:

“Ada satu unit teres dua tingkat end lot yang akan dilelong minggu depan, di Eco Majestic. Tahun lepas rumah ini ada kes bunuh, ibu bapa dituduh dera & bunuh anak perempuan berusia 7 tahun. First lelong dibuka harga rezab RM980k, kali ni turun kepada RM571k. Lebih 40% drop.”

Pemilik Dipenjara, Rumah Terpaksa Dilelong

Antara fakta yang membuatkan ramai semakin tersentak ialah hakikat bahawa pemilik asal rumah tersebut kini berada dalam penjara selepas didakwa di mahkamah atas kes bunuh. Akibat pertuduhan berat itu, pasangan suami isteri berkenaan tidak lagi mampu mengurus atau mempertahankan pemilikan hartanah tersebut, sekali gus menyebabkan rumah berkenaan terpaksa dilelong oleh pihak berkaitan pada harga jauh lebih rendah daripada nilai pasaran asal.

Dalam dunia hartanah, situasi sebegini bukan luar biasa, apabila pemilik dipenjarakan dan komitmen kewangan gagal dipenuhi, aset akan menjadi cagaran dan akhirnya dilelong. Namun, dalam kes ini, faktor jenayah berat menjadikan rumah itu semakin sukar menarik pembeli.

Gambar di Hasilkan oleh teknologi AI

Kematian Kerana Sakit, Masih Boleh Diterima, Tapi Bukan Ini

Ruangan komen di Threads dibanjiri pandangan berbeza. Ada yang mengakui masih sanggup membeli rumah yang pernah berlaku kematian akibat sakit. Namun, pembunuhan melibatkan penderaan kanak-kanak dianggap garis merah oleh ramai.

Seorang pengguna menulis:

“Penderaan tu yang bagi super negative energy pada rumah.”

Komen tersebut dipersetujui ramai, menggambarkan ketakutan bukan sahaja dari sudut mistik, tetapi kesan psikologi dan emosi apabila mengetahui tragedi sebenar yang pernah berlaku di situ.

Kes Yang Pernah Menggemparkan Negara

Untuk rekod, kes ini pernah dilaporkan secara meluas oleh media tempatan. Pasangan suami isteri berkenaan, Lim Yee Yang (40) dan Cheang Sun Sun (38), didakwa di Mahkamah Majistret atas tuduhan secara bersama membunuh anak perempuan mereka yang berusia 7 tahun.

Fakta ini menjadikan rumah tersebut bukan sekadar “rumah lelong”, tetapi lokasi sebenar tragedi yang pernah meragut nyawa seorang kanak-kanak.

Netizen Kaitkan Dengan Filem Seram Jepun, Ju-On

Menariknya, ada juga netizen yang mengaitkan isu ini dengan filem seram Jepun terkenal, Ju-On. Filem tersebut mengisahkan sebuah rumah yang diselubungi sumpahan akibat kematian tragis seorang wanita dan anaknya, sehingga sesiapa sahaja yang memasuki rumah itu akan menjadi mangsa gangguan tanpa kesudahan.

Walaupun perbandingan itu bersifat simbolik, ia mencerminkan ketakutan psikologi orang ramai terhadap ruang yang menyimpan sejarah penderitaan dan keganasan.

MURAI melihat isu ini sebagai peringatan bahawa nilai sesebuah rumah bukan hanya pada batu-bata dan lokasi, tetapi juga pada sejarah yang pernah berlaku di dalamnya. Ada rumah yang boleh diubah suai, tetapi ada kisah yang sukar dipadam.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |