Kumpulan Pendidikan Antarabangsa di Cambridge University Press & Assessment (Cambridge) mengumumkan Penolong Pengetua merangkap Guru Pendidikan Pelajar Berkeperluan Khas (SEN), Dr. Velerie Wheelervon Primus, sebagai pemenang serantau Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge (Cambridge Dedicated Teacher Awards) 2026 bagi zon Asia Tenggara & Pasifik. Dr. Velerie dipilih oleh panel juri atas komitmen jitu beliau dalam menerajui agenda inklusiviti serta memacu transformasi sektor Pendidikan Khas di kawasan luar bandar Sabah.

Beliau merupakan salah seorang daripada sembilan pemenang serantau bagi pertandingan global Cambridge yang mengiktiraf kecemerlangan guru di seluruh pelosok dunia. Sebagai pemenang, beliau bakal menerima sumbangan buku bernilai £500 (anggaran RM2,682.19) untuk kegunaan kelasnya, sebuah trofi serta tumpuan media buat diri dan sekolah beliau sepanjang tahun ini. Selain itu, penghargaan buat Dr. Velerie akan diabadikan pada ruangan khas “Thank You” dalam naskhah buku teks terbaharu terbitan Cambridge yang akan mula dipasarkan pada November 2026.
Dr. Velerie berkhidmat sebagai Penolong Pengetua bagi Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) di Sekolah Kebangsaan Bingkor, Sabah. Beliau bertanggungjawab merangka sistem pendidikan inklusif yang menangani keperluan unik pelajar neurodivergen, selain menyelia Rancangan Pendidikan Individu (RPI), membimbing para pendidik serta menjalin kerjasama erat dengan keluarga bagi menyediakan sokongan holistik yang berpusatkan pelajar. Beliau turut membangunkan NeuroArts Framework, iaitu sebuah model berteraskan regulasi kendiri yang menyepadukan amalan terapeutik, pembelajaran berasaskan alam semula jadi serta elemen kesenian ke dalam sistem pendidikan.
Undian Pemenang Global

Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge mengiktiraf peranan signifikan golongan pendidik dalam mencorak masa hadapan pelajar serta mempersiapkan mereka untuk mendepani dunia luar.
Anugerah ini memberi peluang kepada pelajar, ibu bapa dan rakan sejawat untuk mencalonkan guru sekolah rendah mahupun menengah yang mempamerkan komitmen luar biasa dalam bidang pendidikan.
Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai Anugerah Guru Berdedikasi Cambridge dan mengundi guru pilihan anda, sila layari dedicatedteacher.cambridge.org/vote.

9 hours ago
7











![[VIDEO] Dr Say Shazril Terharu Lihat Anaknya Mahu Bantu Peminta Sedekah-“Terkejut Bila Dia Minta Duit..”](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/05/b50f7fc6-ff20-49d2-850b-f69a5fa40017.webp)





















![[VIDEO] Gelagat Anak Kedua Anzalna Buat Ramai Berdekah- “Tengah Bina Snowman Tiba-Tiba Nak Susu”](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/01/4-3.webp)







![[VIDEO] Aliff Aziz ‘Cover’ Lagu & Imbas Momen Mesra Dengan Anak-Anak, Undang Pelbagai Reaksi Netizen!](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/01/4dd9619a-ce63-4f27-bdd8-9e0339205594.webp)



![[VIDEO] Ustaz Kazim Elias Bagi Nasihat Pasal Zuriat Untuk Erra Fazira, Reaksi Suami Buat Ramai Terhibur](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/02/Screenshot-2026-02-05-at-2.36.44-PM.webp)



