“Perkahwinan Bukan Tentang Cinta Sempurna”-Raja Ilya Akui Kadang-Kadang Perceraian Jadi Jawapan Terbaik

6 hours ago 6

Di tengah hangat kisah rumah tangga selebriti yang menjadi perhatian ramai, pelakon Raja Ilya tampil dengan pandangan jujur dan matang tentang erti sebenar sebuah perkahwinan. Bagi pelakon berusia 40 tahun itu, perkahwinan bukan sekadar kisah cinta yang indah seperti dalam drama, sebaliknya sebuah perjalanan penuh ujian yang menuntut kesabaran, keikhlasan dan kekuatan untuk saling memahami.

Menurut Ilya atau nama penuhnya Raja Ramilah Begum Raja Mohammad, setiap pasangan mempunyai ujian tersendiri, dan tidak semua perkahwinan berakhir dengan bahagia. Kadangkala, perceraian menjadi jalan terbaik buat mereka yang sudah terlalu terluka.

“Perceraian itu satu pilihan. Kadang-kadang pengakhiran juga satu jawapan, terutama bagi mereka yang terluka secara fizikal atau mental. Tapi kalau memilih untuk terus bertahan, kena tahu fasa selepas anak pertama bukan mudah,” tulisnya di Instagram.

Pelakon KL Vampires itu menegaskan bahawa ramai pasangan kini terperangkap dengan jangkaan terlalu tinggi, sehingga terlupa bahawa kebahagiaan sebenar tidak boleh digantung pada manusia semata-mata.

“Wanita sering berharap suami memahami dan peka terhadap keperluan mereka. Tapi bila semua harapan disandarkan pada seorang manusia, akhirnya kita juga yang kecewa. Lelaki dan wanita itu berbeza. Cara fikir, cara sayang, bahkan cara meluah penat pun tak sama. Jadi salah faham dan rasa tidak dihargai itu lumrah. Perkahwinan bukan tentang cinta yang sempurna, tapi kekuatan untuk terus berdiri walau kasih terasa goyah,” katanya lagi.

Ilya turut berkongsi bahawa pengalaman membesar dalam keluarga berpecah membuatkannya lebih menghargai makna sebenar keutuhan rumah tangga.

“Saya datang daripada keluarga berantakan. Anak-anak perlukan kedua-dua ibu bapa di bawah satu bumbung selama mana hubungan itu masih boleh diperbaiki. Jiwa dan masa depan mereka dibentuk daripada apa yang mereka lihat di rumah. Kalau boleh bertolak ansur, tahan ego dan pilih kasih sayang berbanding siapa betul atau salah, lakukanlah demi mereka,” luahnya dengan penuh makna.

Bagi Ilya, tiada siapa benar atau salah dalam sesebuah rumah tangga kerana kedua-duanya berjuang dalam bentuk yang berbeza.

“Wanita bertarung dengan keletihan dan emosi, manakala lelaki menanggung peranan sebagai pelindung dan ketua keluarga. Tiada manusia sempurna. Apa yang membuatkan sesebuah perkahwinan kekal bukan kesempurnaan, tetapi kejujuran, usaha, dan saling mengingatkan tentang tujuan asal Tuhan, keluarga dan kasih sayang. Dari situ kita akan temui jalan pulang. Kalau bergaduh sampai menjerit sekalipun, sebelum tidur mesti salah seorang ketepikan ego dan ucap maaf. Dari situ kita belajar untuk terus membina, bukan menghancurkan,” tuturnya yang kini menetap di Australia.

Raja Ilya mendirikan rumah tangga dengan warga Australia, Trent Garrett, pada 2018 dan dikurniakan dua cahaya mata, Talita Love, 3, dan Royal Abraham, 1.

Luahan pelakon ini muncul ketika dunia hiburan sedang kecoh dengan kemelut rumah tangga rakan seindustri, Uqasha Senrose dan Kamal Adli, yang kini berdepan prosiding perceraian di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan. Kes mereka ditangguhkan ke 28 Oktober depan selepas Kamal dilaporkan tidak hadir atas alasan penggambaran.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |