Dulu Dilabel Kayu, Lakonan Sharifah Rose Akhirnya Bersuara Sendiri

17 hours ago 9

Drama Doa Yang Terlindung yang kini bersiaran menerusi Slot Akasia nyata mencuri perhatian penonton, bukan sahaja kerana jalan ceritanya, malah perkembangan lakonan barisan pelakonnya. Antara yang paling ketara menjadi bualan ialah Sharifah Rose, yang kali ini tampil dengan aura berbeza sehingga menerima pujian terbuka daripada peminat drama tempatan.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata penonton mengakui lakonan Rose jauh lebih natural dan meyakinkan berbanding sebelum ini. Seorang peminat menulis:

“Currently watching Doa Yang Terlindung (Slot Akasia) and just wanted to mention @sharifahrose_ has really improved a lot in this drama. Her acting feels much more natural this time. And as always, lovely @fashasandha.”

Komen itu membawa maksud bahawa penonton tersebut sedang mengikuti Doa Yang Terlindung dan ingin menyatakan Sharifah Rose benar-benar menunjukkan peningkatan besar, dengan lakonan yang terasa lebih semula jadi kali ini, selain turut memuji lakonan Fasha Sandha yang sentiasa konsisten.

Lebih menarik, bukan semua yang memuji adalah peminat tegar drama Melayu. Seorang lagi penonton berkongsi secara jujur,

“Saya jarang tengok drama Melayu. Tapi drama ini saya ikut sebab suami saya tengok. Dan cuma nak cakap saya suka lakonan @sharifahrose_ dalam drama ini.”

Bagi MURAI, pujian sebegini bukan sekadar manis di telinga, tetapi cukup signifikan. Ia datang daripada penonton neutral yang sebelum ini tidak begitu mengikuti drama tempatan, namun akhirnya ‘terpaut’ kerana persembahan lakonan yang diyakini.

Dari ‘Dilabel Kayu’ Ke Lakonan Lebih Padu

Sekadar info, Rose sebelum ini tidak terlepas daripada kritikan. Ada yang melabelkan dirinya sebagai “berlakon kayu” dan sekadar mempertaruhkan wajah cantik dalam beberapa drama terdahulu. Tidak dinafikan, kata-kata sebegitu sedikit sebanyak pasti mengguris hati, apatah lagi buat pelakon muda yang sedang mencari rentak sebenar dalam dunia lakonan.

Namun, Rose memilih untuk tidak terus tenggelam dalam kritikan. Dalam satu kenyataan media tempatan sebelum ini, beliau mengakui banyak belajar sepanjang penglibatannya dalam drama yang sedang disiarkan kini.

“Melihat lakonan saya di dalam drama tersebut, saya boleh nampak kesalahan kecil yang dibuat. Jujurnya saya banyak belajar di set penggambaran ini dengan semua pelakon yang terbabit dan juga pengarah.

Mereka banyak membantu saya dan mereka juga sangat menyokong. Saya rasa dari drama terdahulu dengan drama ini, memang banyak beza. Malah saya merasakan saya mula selesa dengan lakonan,” katanya.

Kenyataan itu seolah-olah menjadi cerminan kepada apa yang penonton lihat hari ini. Lakonan yang lebih terkawal, emosi yang sampai, dan karakter yang tidak lagi terasa kaku.

Walaupun tampil lebih matang dan yakin, gadis kacukan Melayu, Arab dan Jawa ini tidak menafikan dirinya juga seorang manusia biasa. Ada kalanya, lontaran cemuhan dan kata-kata negatif meninggalkan kesan mendalam dalam dirinya. Namun, Rose memilih untuk bangkit, belajar dan memperbaiki diri dan hasilnya kini mula diakui penonton.

Bagi MURAI, perjalanan Sharifah Rose ini membuktikan satu perkara:perkembangan seorang pelakon tidak berlaku dalam sehari.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |