Dulu Mengharumkan Nama Negara, Kini Dijemput Menjadi Tetamu Allah

16 hours ago 6

Selama ini kita sering mengangkat kejayaan atlet ketika mereka membawa pulang pingat buat negara. Namun selepas tamat karier, tidak semua menikmati kehidupan yang mudah. Sebab itu MURAI rasa inisiatif yang dilakukan oleh Ikhlas Com Travel & Umrah Sdn Bhd (ikhlas.com) ini memang wajar diberi pujian.

Seramai 18 bekas atlet yang juga ahli Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) diberi peluang menunaikan ibadah umrah, termasuk tujuh atlet yang menerima tajaan penuh daripada Fakulti Sains Sukan dan Rekreasi (FSSR) UiTM dengan sokongan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).

Impian Bertahun-Tahun Akhirnya Tercapai

Antara kisah yang paling menyentuh hati ialah bekas atlet olahraga paralimpik negara, Rahim Yusoff. Dilahirkan tanpa kedua-dua belah tangan, Rahim mengakui peluang menjejakkan kaki ke Tanah Suci adalah impian yang sudah lama dipendam.

Lebih menginspirasikan, selepas bersara daripada dunia sukan, beliau meneruskan kehidupan sebagai tukang jahit, penternak lembu dan mengusahakan perniagaan telur masin dari rumah. Semangatnya jelas membuktikan kekurangan bukan penghalang untuk terus mencari rezeki dan berbakti.

Turut menyertai rombongan ialah bekas pemain tenis berkerusi roda negara, Azman Hasan yang pernah berada di ranking kesembilan dunia. Baginya, golongan OKU perlu berani membuktikan kemampuan diri dan tidak hanya menunggu bantuan daripada orang lain.

Bagi MURAI, ini bukan sekadar kisah tajaan umrah. Ia adalah penghargaan kepada insan yang pernah mengorbankan tenaga demi mengibarkan Jalur Gemilang. Kadang-kadang, ganjaran paling bermakna bukanlah pingat atau trofi, tetapi peluang menjadi tetamu Allah. Kisah seperti ini memang cukup healing dan mengingatkan kita bahawa jasa seseorang tidak sepatutnya dilupakan selepas sorakan di stadium berakhir.

Thumbs

Thumbs

1

Hearts

Hearts

2

Haha

Haha

3

Star

Star

1

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |