“Kalau ada yang rasa saya sakit, doa-doakan kesihatan saya. Buat masa sekarang, saya tiada apa nak beritahu,” ujar penyanyi dan pelakon Dafi, 37, dengan tenang ketika diminta mengulas spekulasi yang mendakwa dirinya menghidap kanser darah. Dafi atau nama penuhnya Gadaffi Ismail Sabri, tidak menolak atau mengiyakan khabar angin tersebut, namun memilih untuk memberikan reaksi bersahaja dan terbuka terhadap kebimbangan orang ramai. Baginya, tiada yang lebih penting melainkan doa yang baik daripada mereka yang mengambil berat.
Menurut Dafi, ini bukan kali pertama dia menjadi sasaran spekulasi melampau. Pernah juga timbul dakwaan kononnya dia mengambil bahan terlarang hanya kerana tubuhnya kelihatan terlalu kurus suatu ketika dahulu. Kini apabila berat badannya sudah kembali meningkat, masih ada yang terus membuat andaian. Namun, dia tidak mengambil pusing akan komen negatif, malah bersyukur dengan tahap kesihatan dirinya yang semakin baik. Katanya, keadaan kini lebih stabil dan fizikalnya juga semakin berisi. “Alhamdulillah, sekarang saya semakin sihat, semakin bulat. Tiada apa yang merisaukan, setakat ini tetapi teruskan doa saya sihat,” luahnya dengan senyuman ketika ditemui pada malam gala filem Martabat Misi Berdarah lakonannya.
Mengulas dakwaan yang timbul susulan kehadirannya yang kerap dilihat di hospital, Dafi menjelaskan perkara tersebut bukanlah sesuatu yang luar biasa. Sama ada menziarahi saudara-mara yang sedang dirawat ataupun menemani rakan melakukan pemeriksaan kesihatan, baginya kunjungan ke hospital adalah perkara lumrah. Tambah pula dirinya sendiri mempunyai masalah asma dan perlu menjalani pemeriksaan berkala. Ujarnya, “Saya sendiri pun tidak sihat kerana ada asma. Jadi untuk ke hospital itu bukan satu benda yang pelik.”
Di sebalik semua spekulasi dan persoalan, Dafi memilih untuk mengekalkan sikap positif dan berterima kasih kepada mereka yang mengambil berat. Malah, dia sendiri lebih senang apabila melihat orang sekeliling tidak risaukan keadaannya. Katanya, kegembiraannya bukan datang daripada simpati, tetapi daripada memastikan orang lain tenang melihat dirinya baik-baik saja. Dan walaupun pertambahan berat badannya mengundang pelbagai reaksi, dia tetap bersyukur. “Senang nak naikkan berat badan, hanya makan saja, cuma nak turunkan yang susah,” katanya berseloroh.
Dafi sebelum ini pernah dikritik kerana kelihatan terlalu cengkung, namun menafikan sebarang penggunaan bahan terlarang. Dia menjelaskan bahawa perubahan fizikal itu adalah hasil daripada diet seimbang serta senaman yang konsisten. Kini, dengan tubuh yang lebih sihat dan tenaga yang lebih baik, Dafi kelihatan kembali bertenaga dalam kerjaya seninya, dan terus melangkah ke hadapan tanpa membiarkan spekulasi menghalang langkahnya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.