Filem Martabat: Misi Berdarah telah mengadakan tayangan perdana pada 10 Jun 2025 bertempat di GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur. Acara yang berlangsung meriah itu dihadiri ramai penggiat industri, selebriti tempatan, media serta barisan pelakon dan krew produksi. Tayangan ini menandakan permulaan yang signifikan bagi karya yang menyatukan genre aksi, komedi dan satira dalam sebuah penceritaan unik dan segar.
Konteks Penceritaan
Filem ini mengisahkan sekumpulan pelakon tambahan (ekstra) yang berusaha menonjolkan diri dalam industri perfileman tempatan. Di sebalik watak kecil yang mereka pegang, tersimpan cita-cita besar, pengorbanan dan semangat luar biasa. Penceritaan Martabat: Misi Berdarah menggunakan pendekatan “filem dalam filem”, memberikan gambaran realiti di balik tabir dunia perfileman yang jarang diketengahkan di layar utama.
Filem ini juga membawa unsur gurauan terhadap filem aksi tempatan seperti Malbatt: Misi Bakara, namun dalam nada yang bersahaja dan bersifat penghargaan. Gabungan komedi dan emosi menjadikan naratifnya lebih santai dan dekat di hati penonton.
Arahan & Lakonan
Karya ini merupakan hasil arahan bersama pelakon terkenal Zahiril Adzim, yang buat pertama kalinya duduk di kerusi pengarah, bersama pengarah berpengalaman Adrian Teh. Kolaborasi ini berjaya melahirkan keseimbangan antara gaya penceritaan bersifat sinikal dengan struktur naratif yang teratur dan mudah diikuti.
Dari sudut lakonan, filem ini menampilkan barisan pelakon seperti Fad Bocey, Emma Maembong, Shiqin Kamal, Elvina Chua, dan Nafiez Zaidi. Setiap watak disampaikan dengan gaya lakonan yang bersahaja namun berkesan, memberikan kekuatan kepada naratif secara keseluruhan.
Terdapat juga pelakon tanah air lain yang menghiasi filem ini (cameo) seperti Azhan Rani, Beto Kusyairi, Sofi Jikan dan ramai lagi.
Sinematografi & Teknikal
Dari aspek teknikal, Martabat: Misi Berdarah diperkemaskan dengan sinematografi yang kemas oleh Danny Voon, serta suntingan dinamik oleh Lee Pai Seang. Penceritaan disokong oleh visual yang menangkap emosi dan suasana dengan tepat, menjadikan pengalaman menonton lebih berkesan.
Penghargaan kepada “Orang Belakang Tabir”
Apa yang menjadikan filem ini istimewa adalah penghormatan yang diberikan kepada pelakon tambahan dan tenaga kerja produksi yang sering kali terpinggir dalam penceritaan arus perdana. Menurut kenyataan Zahiril Adzim semasa sidang media selepas tayangan perdana, filem ini dihasilkan sebagai satu bentuk penghargaan kepada mereka yang bekerja keras di sebalik tabir dunia perfileman, tanpa sorotan glamor tetapi memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesebuah karya.
“Saya dulu pun bermula sebagai pelakon tambahan dan sekarang saya tengok ada pelakon tambahan yang bersama-sama saya dulu dah berjaya.”
“Kadang-kadang krew di belakang tabir tidak meluahkan apa yang mereka rasa”
Ulasan Murai.my
Sebagai sebuah karya sulung dari segi pengarahan bagi Zahiril Adzim, Martabat: Misi Berdarah tampil sebagai filem yang berani, segar dan sarat mesej tersirat. Gabungan elemen aksi dan komedi dalam filem ini menjadikannya bukan sekadar filem hiburan, tetapi juga satu refleksi terhadap realiti dunia seni tanah air.
Bagi Murai.my, filem ini menjadi sebuah penghormatan penuh makna kepada warga produksi filem tempatan. Martabat: Misi Berdarah tampil unik dengan pendekatan genre tersendiri serta penceritaan yang santai dan menyentuh hati mengenangkan ia adalah realiti hidup seorang penggiat industri seni. Sememangnya filem ini layak mendapat tempat di hati penonton Malaysia.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.