Penyanyi rap dan aktivis kemanusiaan, Caprice, mencuri perhatian ramai apabila seolah-olah memberi bayangan mengenai identiti rapper tempatan yang dipercayai ditahan di Laos atas tuduhan cubaan menyeludup ganja ke Jerman. Menerusi satu hantaran di Instagram, Caprice memuat naik tangkap layar laporan berita mengenai insiden terbabit sambil meletakkan muzik latar lagu kumpulan Forceparkbois berjudul Lotus, yang menambahkan lagi tanda tanya dalam kalangan netizen.
Komen demi komen mula memenuhi ruangan hantaran tersebut, termasuk daripada pengguna media sosial yang terkejut dengan jumlah dadah yang didakwa cuba diseludup, iaitu kira-kira 86 kilogram. Caprice yang terkenal dengan gaya sarkastik tidak ketinggalan membalas, “Gila berani. Idea siapalah ini,” sekaligus menimbulkan spekulasi bahawa dia mempunyai pengetahuan dalaman mengenai kes tersebut.
Namun, apabila ada netizen yang menuduh Caprice sendiri sebagai individu yang ditahan di Laos, penyanyi berusia 37 tahun itu tampil menafikan secara sinis dengan menjawab, “Ya, memanglah saya boleh taip dari Laos dalam penjara.” Reaksi itu jelas memperlihatkan ketidakpuasan hatinya terhadap tuduhan melulu yang dilemparkan sesetengah pihak.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan seorang rapper tempatan yang juga ahli kumpulan muzik hip hop dari Johor Bahru telah ditahan bersama dua lagi rakyat Malaysia pada 27 Mei lalu di Lapangan Terbang Antarabangsa Wattay, Laos. Ketiga-tiga suspek dipercayai cuba menyeludup 103 bungkusan ganja seberat lebih 80 kilogram ke Jerman melalui penerbangan Thai Airways.
Rampasan dadah itu dikatakan susulan kepada siri penahanan berkaitan penyeludupan dadah yang berlaku di lapangan terbang sama sejak beberapa bulan kebelakangan ini. Berdasarkan foto yang dikongsi oleh media tempatan Laos, identiti suspek semakin menjadi bualan hangat, terutama dalam kalangan peminat muzik hip hop tanah air.
Pihak berkuasa Laos mengesahkan bahawa semua suspek masih dalam tahanan dan bakal berdepan proses pendakwaan mengikut undang-undang negara tersebut. Sementara itu, nama-nama besar dalam industri muzik terus menjadi tumpuan apabila wujud bayangan dan sindiran di media sosial, seperti yang dilakukan oleh Caprice, yang secara tidak langsung menguatkan lagi teka-teki siapakah sebenarnya rapper yang terpalit dalam kontroversi penyeludupan dadah antarabangsa ini.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.