“Saya Pernah Jadi Jenazah”-Elfira Loy Seru Umat Islam Rebut Pahala Mandi Mayat

23 hours ago 9

Pelakon Elfira Loy menyeru orang ramai, khususnya umat Islam, agar mempelajari cara memandikan jenazah sebagai satu persiapan penting menuju kehidupan hakiki di akhirat. Menurut Elfira atau nama lengkapnya Nurul Elfira Loy Ahmad Sabri, 31, pengalaman menguruskan jenazah bukan sahaja memberi impak mendalam dalam hidup, malah merupakan satu kewajipan fardhu kifayah yang mendatangkan pahala besar di sisi Allah.

Elfira berkongsi bahawa dia sendiri pernah mengikuti kelas pengurusan jenazah dan turut mencuba menjadi ‘jenazah’ semasa latihan. Pengalaman tersebut membuatkan dirinya berasa kerdil serta membuka mata tentang hakikat kehidupan dunia yang sementara. Katanya, sesiapa yang pernah memandikan jenazah pasti akan merasa takut dengan dunia kerana terasa sangat dekatnya dengan kematian. Malah, dia mengakui barulah dia faham mengapa orang yang melibatkan diri dalam memandikan jenazah dikurniakan ganjaran pahala sebesar Gunung Uhud.

Meskipun sedar ramai yang takut atau tidak sanggup menguruskan jenazah, pelakon filem Biar Mimpi Sampai Ke Bintang itu tetap berharap lebih ramai orang akan ambil langkah mempelajari ilmu tersebut. Bagi Elfira, setiap insan seharusnya bersedia terutama untuk menguruskan jenazah ibu bapa sendiri. Katanya, tidak sepatutnya tugas penting dan mulia itu diserahkan bulat-bulat kepada orang luar kerana kasih sayang seorang anak boleh diterjemah dalam pengurusan terakhir buat ibu bapa mereka.

Elfira menekankan bahawa perubahan besar dalam hidup boleh berlaku selepas mengikuti kursus pengurusan jenazah. Ia menyentuh jiwa dan membawa seseorang lebih dekat kepada perubahan diri serta memperbaiki amalan. Dia juga percaya bahawa cara seseorang meninggal dunia dan bagaimana jasadnya diuruskan mencerminkan kehidupan yang telah dilaluinya. Menurutnya, semasa jenazah dibersihkan, semua yang berlaku akan memantulkan amalan hidup seseorang, bersih atau sebaliknya.

Katanya, saat itu tiada lagi upaya untuk membetulkan kesilapan kerana semuanya sudah terlambat. Yang tinggal hanyalah tubuh yang tidak berdaya, bergantung pada orang lain untuk menguruskan jasad terakhir di dunia. Oleh itu, katanya, penting untuk hidup dengan amalan yang bersih agar kematian juga berlaku dalam keadaan mulia.

Sejak mendirikan rumah tangga, Elfira dilihat lebih tenang dan kurang aktif dalam dunia seni, memberi fokus sepenuhnya kepada keluarga. Dia juga mula tampil dengan penampilan lebih tertutup, sering mengenakan tudung labuh dan pakaian longgar. Elfira turut dilihat aktif menghadiri kelas-kelas agama dan secara terbuka menyatakan fokusnya kini lebih kepada kehidupan akhirat serta tidak mahu lagi terlalu bergantung pada manusia.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |