20 Tahun Berkarya, Faizal Tahir Bakal Gegarkan Unifi Arena Menerusi ‘Suara Rakyat’

8 hours ago 6

Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya yang sarat mesej dan identiti tersendiri, penyanyi dan komposer, Faizal Tahir bakal meraikan perjalanan seninya menerusi sebuah konsert istimewa yang diberi nama Faizal Tahir: Suara Rakyat.

Konsert yang dijadual berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil itu dianjurkan menerusi kerjasama antara Hitman Solutions dan Faithful Music.

Sekali gus menjadi simbol penghargaan terhadap sumbangan besar Faizal Tahir dalam industri hiburan tanah air selama 20 tahun.

Sebuah Perjalanan Seni Yang Sarat Makna

Dikenali ramai sebagai figura seni yang berani menyampaikan mesej sosial, kritikan membina dan inspirasi menerusi lagu-lagunya, Faizal Tahir atau lebih mesra disapa FT dilihat sebagai suara yang dekat dengan masyarakat.

Justeru, tema Suara Rakyat dipilih sebagai refleksi kepada karya-karya yang telah dihasilkan sepanjang kariernya.

Menurut pihak penganjur, konsert ini bukan sekadar persembahan muzik biasa, sebaliknya bakal membawa penonton menyelusuri perjalanan seni Faizal yang penuh warna sejak kemunculannya menerusi program realiti One in a Million pada tahun 2006.

Sepanjang tempoh tersebut, beliau telah menghasilkan pelbagai karya yang bukan sahaja mendapat sambutan peminat, malah meninggalkan impak besar dalam industri muzik tempatan.

Hitman Solutions Sifatkan FT Sebagai Ikon Industri

Pengarah Urusan dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan Faizal Tahir sebagai antara karyawan seni paling berpengaruh yang pernah dilahirkan negara.

Menurut beliau, sumbangan Faizal tidak terhad kepada kejayaan sebagai penyanyi semata-mata, malah melibatkan penciptaan karya yang memberi inspirasi serta nilai positif kepada masyarakat.

“Faizal Tahir telah memberi sumbangan dan meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah industri muzik selama dua dekad menjadi karyawan seni. Justeru, konsert ini akan menjadi antara persembahan paling istimewa yang pernah kami anjurkan sebagai tanda penghargaan kepada beliau dan para peminat yang sentiasa setia menyokong perjalanan seninya,” katanya.

Ruang Bertemu Peminat Selepas Tiga Tahun

Bagi Faizal Tahir sendiri, penganjuran Suara Rakyat menjadi platform terbaik untuk kembali berinteraksi secara langsung dengan para peminat dalam skala besar selepas kali terakhir menjayakan konsert solo Aku Faizal Tahir Live in KL pada tahun 2023.

Menurut penyanyi berusia 47 tahun itu, sokongan peminat merupakan faktor utama yang mendorongnya untuk terus berkarya dan bertahan dalam industri hiburan.

“Selama 20 tahun dalam industri, sesuatu yang sentiasa membuat saya terus bergerak adalah sokongan peminat. Konsert ini bukan tentang saya semata-mata, tetapi tentang kebersamaan kami dan suara yang kami kongsi bersama,” ujarnya.

Persembahan Istimewa Dari Era Mahakarya Cinta Hingga Jati Diri

Menerusi konsert ini, para peminat bakal disajikan dengan rangkaian lagu popular yang merentasi pelbagai fasa perjalanan seni Faizal Tahir.

Daripada karya ikonik seperti Mahakarya Cinta, Gemuruh dan Bencinta sehinggalah lagu-lagu daripada album terbaharunya, Jati Diri.

Selain persembahan muzik, konsert ini turut dijangka menampilkan elemen penceritaan dan emosi yang menggambarkan evolusi karier Faizal sepanjang dua dekad.

Jualan Tiket Bermula Jun Ini

Bagi peminat yang tidak mahu melepaskan peluang menjadi sebahagian daripada detik bersejarah ini, jualan tiket pra-jualan artis akan dibuka pada 9 Jun 2026, bermula jam 12 tengah hari, manakala jualan umum akan bermula pada 10 Jun 2026 jam 3 petang.

Semua tiket boleh didapati secara eksklusif menerusi platform rasmi Hitman Live.

Dengan sambutan yang dijangka menggalakkan, Faizal Tahir: Suara Rakyat berpotensi menjadi antara konsert tempatan paling dinanti dan signifikan pada tahun 2026.

Sekali gus meraikan legasi seorang karyawan yang terus relevan dan dekat di hati rakyat Malaysia.

Thumbs

Thumbs

1

Hearts

Hearts

3

Haha

Haha

5

Star

Star

4

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |