Kisah Sedih Penjaga Gol Palestin Yang Maut Di Gaza, Tinggalkan Isteri Hamil

14 hours ago 3

Di saat ramai sedang menantikan kelahiran cahaya mata pertama, seorang penjaga gol Palestin pula tidak sempat menikmati detik paling bermakna dalam hidupnya.

Penjaga gol Palestin, Saleem Al-Ashqar, dilaporkan maut awal minggu ini di Gaza selepas terbunuh dalam serangan tentera Israel, menurut kenyataan Persatuan Bola Sepak Palestin (PFA) yang dipetik Anadolu Ajansi.

Pemergian Saleem bukan sahaja meragut seorang atlet yang berbakat, malah merampas masa depan sebuah keluarga yang baru dibina. Lebih memilukan, beliau baru lima bulan bergelar suami, manakala isterinya kini sedang hamil anak sulung mereka.

Anak yang bakal dilahirkan itu tidak akan berpeluang mengenali insan yang sepatutnya menjadi tempat bergantung dan pelindung buat seumur hidup.

Menurut PFA, Saleem merupakan antara ratusan penggiat sukan Palestin yang terkorban sejak konflik memuncak pada Oktober 2023. Persatuan itu turut memaklumkan lebih 1,000 atlet Palestin dilaporkan telah kehilangan nyawa sepanjang tempoh tersebut.

Berita pemergiannya mengundang rasa pilu dalam kalangan ahli keluarga, rakan sepasukan dan komuniti bola sepak di seluruh dunia yang berkongsi ucapan takziah serta penghormatan terakhir buat Allahyarham.

Kelab bola sepak Chile, Deportivo Palestino, turut meluahkan rasa dukacita menerusi satu kenyataan.

“Kami amat berdukacita atas pemergian tragis penjaga gol Palestin berusia 32 tahun, Saleem Al-Ashqar. Beliau terbunuh di tangan tentera Israel. Kami amat sedih melihat insiden seumpama ini terus berlaku dan menyeru agar keadilan serta keamanan ditegakkan.”

Di sebalik angka korban yang semakin meningkat, kisah Saleem mengingatkan dunia bahawa setiap nyawa yang terkorban mempunyai impian, keluarga dan masa depan yang tidak sempat disempurnakan. Kini, yang tinggal hanyalah kenangan buat insan tersayang serta seorang anak yang bakal membesar tanpa sempat memeluk ayahnya sendiri.

Thumbs

Thumbs

3

Hearts

Hearts

3

Haha

Haha

1

Star

Star

5

Sad

Sad

1

Weary

Weary

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |