Ramadan Penuh Makna, Senyuman Anak-anak Asnaf Ini Buat Ramai Tersentuh

3 hours ago 3

Bila melihat foto-foto yang dikongsikan oleh Alamanda Shopping Centre, hati siapa yang tidak tersentuh. Wajah-wajah riang kanak-kanak daripada Pertubuhan Kebajikan Amal Rukaiyah jelas terpancar kegembiraan apabila mereka berpeluang membeli-belah persiapan Hari Raya Aidilfitri.

Ada yang tekun memilih baju raya, ada juga yang tidak sabar mencuba kasut baharu. Senyuman mereka cukup ikhlas, seolah-olah inilah detik yang paling ditunggu-tunggu menjelang Syawal. Melihat kebahagiaan kecil ini, MURAI sendiri terasa sayu tetapi dalam masa sama penuh rasa syukur. Inilah sebenarnya semangat Ramadan yang kita mahu lihat, semua orang berpeluang bergembira tanpa mengira latar belakang.

Baju Raya Pilihan Sendiri, Kasut Baharu Untuk Syawal

Program ini merupakan sebahagian daripada inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) Alamanda sempena bulan Ramadan. Kanak-kanak dari pertubuhan tersebut diberi peluang membeli-belah “Baju Raya” secara peribadi di butik Gene Martino, di mana mereka bebas memilih pakaian perayaan yang disukai.

Lebih menggembirakan, setiap kanak-kanak turut menerima sepasang kasut baharu tajaan Bata. Bayangkanlah perasaan mereka, dari memilih baju hingga melengkapkan gaya dengan kasut baharu, semuanya seperti impian kecil yang menjadi nyata.

Aktiviti Tradisional Tambah Kemeriahan

Bukan sekadar membeli-belah, kanak-kanak ini juga berpeluang menyertai aktiviti budaya yang cukup menarik. Mereka mencuba bengkel anyaman ketupat serta membuat mini wau bulan, satu pengalaman yang bukan sahaja menyeronokkan tetapi turut memperkenalkan mereka kepada warisan tradisional Malaysia.

Bagi menambah kemeriahan, setiap kanak-kanak turut menerima duit raya daripada pihak Alamanda. Manisan perayaan juga tidak dilupakan apabila Browniemunch menghadiahkan biskut dan brownies lazat, lengkap dengan tambahan duit raya untuk menceriakan lagi sambutan Aidilfitri mereka.

Menurut Francis Tan, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Suria KLCC Sdn Bhd, Hari Raya menjadi lebih bermakna apabila kegembiraan itu dikongsi bersama.

Beliau berkata, melihat wajah ceria kanak-kanak ketika memilih baju raya dan kasut baharu benar-benar mengingatkan tentang makna sebenar musim perayaan.

Majlis penuh bermakna ini kemudian diakhiri dengan sesi berbuka puasa di restoran Chakri Village, di mana kanak-kanak tersebut menikmati hidangan bersama rakan media dan pihak pengurusan Alamanda dalam suasana penuh mesra.

Kemeriahan Raya Turut Dikongsi Bersama Pengunjung

Dalam masa sama, Alamanda turut menghidupkan suasana Aidilfitri melalui kempen Raya 2026 mereka. Ruang Centre Court pusat beli-belah itu kini dihiasi dengan konsep “Bougainvillea Garden”, lengkap dengan bunga-bungaan mekar serta sentuhan dekorasi tradisional yang mencipta suasana tenang dan indah untuk keluarga berkumpul serta merakam kenangan raya.

Menariknya, para pelanggan juga boleh turut sama merasai kemeriahan kempen ini. Mereka yang berbelanja RM700 dalam dua resit akan menerima kelalang bunga eksklusif bersama satu set paket Raya. Manakala pelanggan yang berbelanja RM1,500 dan ke atas pula bakal menerima e-Voucher membeli-belah Alamanda bernilai RM50 selain kelalang bunga eksklusif dan paket Raya.

Syabas buat Alamanda atas usaha murni ini. Melihat senyuman anak-anak ini sudah cukup menggambarkan bahawa kebahagiaan kadangkala datang daripada perkara yang paling sederhana peluang untuk merasa dihargai dan diraikan seperti orang lain.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |