Kalau anda peminat nasi lemak dan sedang mencari port makan dengan suasana yang mengimbau kenangan lama, MURAI ada satu lokasi yang wajib dimasukkan dalam senarai. Terletak di Seksyen 13, Shah Alam, Nasi Lemak Pak Man bukan sekadar menjual hidangan ikonik rakyat Malaysia itu, malah menawarkan pengalaman yang membawa pengunjung kembali ke suasana zaman dahulu.
Baru-baru ini, MURAI berkesempatan mengunjungi restoran tersebut dan bertemu sendiri dengan pengasas bersama,Encik Fais Zulkifli serta Puan Nina, yang berkongsi kisah di sebalik penubuhan Nasi Lemak Pak Man.
Siapakah Pak Man?
Menariknya, apabila ditanya siapakah sebenarnya “Pak Man”, kedua-duanya hanya tersenyum. Identiti individu yang menjadi inspirasi kepada nama restoran itu masih dirahsiakan dan dianggap sebagai sebahagian daripada keunikan jenama mereka.
Menurut Fais, Nasi Lemak Pak Man lahir daripada keinginan sekumpulan rakan niaga yang mahu mengangkat makanan tradisional Malaysia dalam suasana yang lebih selesa dan mesra pelanggan. Bersama pengasas lain termasuk Farrah Adeeba, mereka membangunkan konsep ini walaupun tidak datang daripada latar belakang kulinari profesional.
Namun, kekurangan pengalaman dalam bidang masakan bukanlah penghalang. Sebaliknya, pengalaman luas dalam dunia perniagaan menjadi kekuatan utama mereka untuk membina sebuah jenama yang dekat di hati rakyat Malaysia.
“Ramai orang fikir kalau makanan sedap, restoran itu akan terus berjaya. Hakikatnya, membuka dan mengendalikan sebuah restoran bukan perkara mudah. Jika tersilap langkah, ia boleh menjadi satu kerugian besar walaupun hidangan yang ditawarkan berkualiti tinggi,” kata Fais kepada MURAI.
Encik Fais ZulkifliTambah beliau, kejayaan sesebuah restoran bukan hanya bergantung kepada makanan semata-mata, tetapi bagaimana operasi harian, pengurusan kos, kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelanggan diuruskan dengan baik bagi memastikan perniagaan mampu bertahan dalam jangka masa panjang.
Satu perkara yang tidak pernah mereka kompromi adalah soal kualiti bahan mentah. Fais menjelaskan setiap ramuan yang digunakan dipilih dengan sangat teliti bagi memastikan rasa yang diterima pelanggan sentiasa konsisten setiap kali berkunjung.
“Kami sangat menjaga kualiti bahan. Contohnya untuk menu roti bakar, kami menggunakan mentega berkualiti tinggi. Walaupun harga bahan mentah meningkat, kami tidak sewenang-wenangnya menukar kepada alternatif yang lebih murah hanya untuk menjimatkan kos. Bagi kami, pelanggan datang kerana mereka mahukan rasa yang sama setiap kali,” jelasnya.
Menurut Fais lagi, konsistensi merupakan antara rahsia terbesar dalam industri makanan dan minuman. Sesebuah hidangan yang sedap pada hari pertama tidak bermakna jika rasanya berubah selepas beberapa bulan operasi.
Elemen Nostalgia
Sebaik melangkah masuk ke restoran ini, MURAI terus dapat merasakan elemen nostalgia yang cuba diketengahkan. Restorannya mengamalkan konsep terbuka atau open space yang memberikan suasana santai dan nyaman. Ditambah pula dengan alunan lagu-lagu klasik yang berkumandang di ruang makan, ia seolah-olah membawa pengunjung kembali ke era lampau ketika menikmati sarapan pagi bersama keluarga.
Penyediaan Makanan Yang Estetik
Bukan itu sahaja, penyediaan lauk-pauk juga cukup unik apabila dihidangkan menggunakan periuk dan bekas berinspirasikan gaya tradisional. Pemandangan itu sahaja sudah cukup membangkitkan selera, seakan-akan berada di dapur nenek suatu ketika dahulu.
Dari segi menu, Nasi Lemak Pak Man kekal berpegang kepada konsep asal nasi lemak yang dekat dengan citarasa rakyat Malaysia. Pelbagai pilihan lauk seperti rendang, sambal, makanan laut dan hidangan kampung tersedia untuk dipadankan mengikut selera masing-masing.
Walaupun identiti utamanya adalah nasi lemak, mereka tidak melupakan hidangan sampingan yang menjadi kegemaran ramai. Antara yang mencuri perhatian ialah roti bakar pistachio yang semakin popular dalam kalangan pelanggan. Selain itu, pelbagai pilihan kuih-muih tradisional turut disediakan bagi melengkapkan pengalaman menikmati sarapan atau minum petang.
Bagi MURAI, Nasi Lemak Pak Man bukan sekadar sebuah restoran, tetapi sebuah ruang yang meraikan nostalgia makanan Malaysia dalam suasana yang selesa dan moden. Mungkin identiti sebenar Pak Man masih menjadi misteri, namun satu perkara yang pasti, komitmen mereka terhadap kualiti, konsistensi dan pengalaman pelanggan menjadi antara faktor yang membuatkan restoran ini semakin mendapat tempat di hati pengunjung.
Thumbs
Thumbs
3
Hearts
Hearts
3
Haha
Haha
2
Star
Star
2
Sad
Sad
Weary
Weary

9 hours ago
5









![[REVIEW] Dr Anwar Naha Dalang Kematian Ahyan Atau Sekadar ‘Umpan’? Episod 7 GBGTH Cetus Teori Baharu](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/06/Feature-Image-2000-Px-PHIC-10-1.webp)





























![[VIDEO] Wani Kayrie Hadiahkan Ibu Kereta, Rakan Selebriti & Netizen Tumpang Gembira!](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/02/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-14.webp)
![[VIDEO] “Tenanglah Di Sana Abangku…”-Anak Kedua Amyza Aznan](https://murai.my/wp-content/uploads/2026/02/Copy-of-Feature-Image-2000-x-1240-px-16.webp)














