“Maaf Bang, Saya Ada Baby…” – Isu Doorstep Delivery Waktu Berbuka Cetus Perdebatan

10 hours ago 5

Satu perkongsian di media sosial baru-baru ini mengundang perhatian ramai apabila memaparkan perbualan ringkas antara seorang pelanggan dan rider penhantaran makanan ketika waktu hampir berbuka puasa.

Mesej tersebut yang pada awalnya kelihatan biasa, bertukar menjadi topik perdebatan hangat apabila menyentuh soal empati, tanggungjawab dan definisi sebenar servis “doorstep delivery‘.

Permintaan Gantung Di Luar, Rider Luah Rasa Kecewa

Menerusi tangkap layar yang dikongsikan melalui Thread, pelanggan itu memaklumkan kepada rider agar pesanan makanan digantung sahaja di luar rumah.

Namun rider membalas dengan nada kecewa, menyatakan bahawa pelanggan sepatutnya menunggu di bawah kerana waktu berbuka sudah hampir tiba dan dia sendiri tidak sempat berbuka awal.

Pelanggan itu kemudian memohon maaf serta menjelaskan bahawa dia mempunyai bayi kecil dan tidak dapat turun mengambil pesanan tersebut.

Konsep “Doorstep” Jadi Isu

Meninjau ruangan komen, rata-rata menyatakan bahawa jika tempahan diterima ketika hampir waktu berbuka, rider mempunyai pilihan untuk menghentikan aplikasi lebih awal bagi mengelakkan tekanan masa.

Ada juga yang berkongsi pengalaman terpaksa turun dari tingkat atas walaupun dalam keadaan berpantang, sarat mengandung atau mengalami kecederaan kerana rider enggan naik.

via Thread /@wzdaily_

Bagi mereka, jika tidak bersedia memenuhi permintaan penghantaran ke pintu, sepatutnya tempahan tidak diterima sejak awal.

Ada juga yang berpihak kepada pelanggan dan menyifatkan rungutan tersebut tidak wajar kerana penghantaran ke pintu adalah sebahagian daripada servis.

“Nama pun doorstep delivery.”

“Kalau tak nak ganggu waktu berbuka, off app dulu.”

via Thread /@aqua_shoppe

Namun ada juga yang menyeru agar pelanggan memahami tekanan rider yang bekerja tanpa henti menjelang azan Maghrib.

Cabaran Rider Ketika Waktu Puncak

Dalam masa sama, terdapat juga suara yang mengingatkan bahawa rider berdepan tekanan tinggi ketika waktu puncak berbuka.

Permintaan meningkat mendadak, trafik sesak dan kekangan masa boleh memberi tekanan fizikal serta emosi.

Ada rider berpengalaman berkongsi bahawa mereka memilih untuk berbuka ringkas terlebih dahulu sebelum menyambung penghantaran, manakala makan berat dilakukan selepas selesai beberapa tempahan.

via Thread /@aydenjefri

Realitinya, ekonomi gig menuntut pengorbanan masa yang tidak sedikit, terutama ketika musim perayaan atau Ramadan.

Empati Dua Hala Jadi Kunci

Perdebatan ini memperlihatkan bagaimana jangkaan antara pelanggan dan rider kadangkala tidak selari.

Bagi pelanggan yang mempunyai bayi kecil, ibu berpantang atau individu dengan masalah kesihatan, penghantaran ke pintu bukan sekadar kemudahan, tetapi satu keperluan.

Di pihak rider pula, waktu berbuka adalah detik penting selepas seharian berpuasa.

Isu ini akhirnya bukan sekadar soal siapa betul atau salah, tetapi bagaimana komunikasi dan empati dua hala dapat mengelakkan salah faham.

Perkongsian ini sekali lagi mengingatkan bahawa di sebalik setiap tempahan dalam aplikasi, ada manusia dengan tanggungjawab dan cabaran masing-masing.

Dalam dunia serba digital, empati kekal menjadi nilai paling mahal.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |