Bukan Sekadar Buka Cawangan Baharu, KESS Perkasa Komuniti Anak Istimewa Bersama PRISMA

5 hours ago 3

Satu lagi langkah positif dalam usaha memperkasakan komuniti anak istimewa apabila Pertubuhan Ibu Bapa Anak Anak Istimewa Malaysia (PRISMA) dan Kedai Emas Sri Semantan (KESS) memeterai Memorandum Persefahaman (MOU) bagi menjalin kerjasama strategik dalam pelaksanaan program tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Menariknya, perjanjian tersebut dimeterai pada waktu yang sama dengan perasmian pembukaan cawangan baharu Kedai Emas Sri Semantan yang ke-23, yang terletak di Wangsa Maju, Kuala Lumpur.

Pembukaan cawangan baharu ini bukan sahaja menjadi satu lagi perkembangan buat KESS, malah turut menjadi platform untuk mengetengahkan komitmen syarikat dalam menyokong komuniti dan golongan yang memerlukan.

Fokus Kebajikan, Pendidikan Dan Komuniti

KESSPelakon, pengarah dan penerbit, Dr Ahmad Idham Ahmad Nadzri menubuhkan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pertubuhan Ibubapa Anak-Anak Istimewa atau PRISMA.

Menerusi kerjasama ini, beberapa inisiatif dirancang termasuk bantuan bakul makanan, keperluan asas keluarga dan program ziarah komuniti.

Tidak terhad kepada bantuan kebajikan, PRISMA dan KESS turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan dan kesedaran menerusi bengkel ibu bapa, seminar serta kempen berkaitan anak istimewa.

Lebih menarik, sekolah Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) turut menjadi antara kumpulan yang akan menerima manfaat menerusi sumbangan peralatan pendidikan, kemudahan pembelajaran serta program motivasi dan pembangunan murid khas.

Kerjasama NGO Dan Korporat

Dalam kerjasama ini, PRISMA bertanggungjawab menyelaras program, mengenal pasti penerima bantuan serta memastikan agihan dilaksanakan secara telus dan teratur.

KESS pula akan menyokong dari segi dana CSR, jaringan korporat dan promosi bagi membantu meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap komuniti anak istimewa.

Persoalannya, kenapa kerjasama seperti ini penting? Bagi MURAI, apabila NGO dan pihak korporat bergerak bersama, impaknya boleh jadi lebih besar dan sampai kepada lebih ramai golongan yang memerlukan.

Tiga Tahun Untuk Beri Impak

MOU ini berkuat kuasa selama tiga tahun bermula daripada tarikh ditandatangani, dengan kedua-dua pihak turut komited terhadap pengurusan dana secara telus serta penyediaan laporan penggunaan dan impak program.

Semoga kerjasama PRISMA dan KESS ini bukan sekadar termeterai atas kertas, tetapi benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan keluarga dan anak-anak istimewa di Malaysia.

Kerana pada akhirnya, komuniti yang inklusif bermula apabila kita semua memilih untuk ambil peduli.

Thumbs

Thumbs

5

Hearts

Hearts

5

Haha

Haha

1

Star

Star

1

Sad

Sad

Weary

Weary

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |