Usahawan Muda Ashhry Atan Belanja 500 Jururawat Makan Percuma

3 hours ago 5

Dalam dunia media sosial yang penuh dengan nama-nama besar, mungkin ramai yang masih belum begitu kenal dengan figura bernama Ashhry Atan. Namun bagi MURAI, ini antara individu yang perlahan-lahan mencuri perhatian bukan sebab kontroversi, tapi kerana hati yang cukup besar.

Daripada latar belakang keluarga yang sudah sinonim dengan dunia bisnes melalui abangnya, Anas Zahrin, Ashhry sebenarnya sedang membina jalannya sendiri. Dia kini mengusahakan Restoran Ashhryshoshedap yang mula beroperasi sejak 2022 di Nongchik Riverside, Johor Bahru.

Kalau dilihat sekali imbas, mungkin nampak seperti usahawan biasa. Tapi bila diselami, ada sesuatu yang buat MURAI rasa “eh lain macam”. Ashhry pegang satu prinsip mudah  memberi itu satu pelaburan.

Raikan Jururawat Dengan Cara ‘Luar Biasa’

Terbaharu, sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia 2026 pada 12 Mei lalu, Ashhry bersama pasukannya mengambil inisiatif menganjurkan jamuan besar-besaran khas buat jururawat sekitar Johor Bahru. Bukan calang-calang, lebih 500 jururawat diraikan dengan lebih 20 jenis hidangan secara percuma, dengan peruntukan melebihi RM10,000.

Apa yang buat kisah ini lebih menarik, semuanya dilakukan sendiri di premis restoran miliknya. Chef pula dah mula bekerja seawal jam 6 pagi  memang all out. Dari hidangan tradisional seperti Asam Pedas Ikan Pari dan Daging Salai Masak Lemak, hinggalah dessert unik seperti “Kura Kura Mencintaimu”, semuanya jadi sajian untuk tetamu istimewa hari itu.

Bagi Ashhry, kepuasan sebenar bukan pada jumlah yang dibelanjakan, tapi pada reaksi yang diterima. Katanya, melihat jururawat tersenyum, beramah mesra dan menikmati makanan bersama walaupun tidak saling mengenali, sudah cukup membuatkan dia rasa usaha itu berbaloi.

Menariknya, inspirasi di sebalik sikap pemurah ini datang daripada ibunya, Hajah Hamida, selain dorongan abangnya sendiri yang gemar menggembirakan orang lain. Dalam banyak-banyak sambutan, Ashhry memilih untuk menghargai jururawat satu golongan yang sering berada di barisan hadapan tetapi jarang diraikan.

Bukan Nak Tunjuk, Tapi Nak Kongsi Rezeki

Walaupun mula mendapat perhatian di media sosial kerana sikapnya yang suka membantu, Ashhry menegaskan semua yang dilakukan bukan untuk menunjuk-nunjuk. Baginya, jika ia boleh jadi contoh dan menggalakkan lebih ramai orang untuk berkongsi rezeki, itu sudah memadai.

Ashhry bersama staf restoran miliknya

Dalam masa sama, perjalanan bisnesnya juga sedang berkembang. Restoran Ashhryshoshedap dijangka membuka cawangan kedua di R&F Johor Bahru sekitar Jun nanti, selain pernah dinobatkan sebagai Johor The Best Restaurant 2025.

Mungkin hari ini nama Ashhry Atan belum lagi berada di puncak populariti. Tapi kalau terus konsisten dengan apa yang dia lakukan sekarang, MURAI rasa  ini antara nama yang patut kita mula beri perhatian. Kadang-kadang, orang yang paling kurang dikenali itulah yang paling banyak memberi.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |