Pelakon terkenal, Uqasha Senrose tampil menjelaskan sebab di sebalik perubahan fizikalnya yang kini kelihatan semakin kurus dan anggun sehingga menjadi perbualan hangat di media sosial. Menurut Uqasha atau nama penuhnya Nik Zaris Uqasha Nik Sen, 33, bentuk tubuhnya yang semakin susut bukan hasil diet ketat atau rawatan kecantikan tertentu, sebaliknya disebabkan kesibukan kerja dan tanggungjawabnya sebagai ibu kepada anak perempuan tunggal, Hawra Uqaira, yang kini berusia setahun.
“Orang tanya saya kenapa kurus, sebab kerja. Agak berat untuk saya tinggalkan anak sulung setiap hari sehingga rasa ‘burn out’ dan tiada masa untuk ‘me time’. Tidak mungkinlah asyik nak tinggalkan anak di rumah mak saya, dia pun sudah berusia pasti penat. Mak kita bukan orang gaji dan dia tak sepatutnya jaga cucu pula,” katanya dalam siaran langsung di TikTok.
Uqasha turut mendedahkan bahawa dia pernah membawa anaknya ke lokasi penggambaran selama hampir dua minggu kerana tidak sanggup berjauhan. “Ada satu momen, saya membawa Uqaira ke set penggambaran selama 12 hari, mendukung dan beri susu sambil hafal skrip,” katanya yang mengakui fasa bergelar ibu bekerja bukan sesuatu yang mudah.
Dalam kesempatan itu juga, pelakon drama Rindu Awak Separuh Nyawa ini sempat menzahirkan rasa syukur kepada ibunya, Rosmizah Mohd. Noor, dan adiknya, Nelydia Senrose, atas bantuan serta sokongan mereka dalam menguruskan kehidupan hariannya. “Saya sangat berterima kasih pada mak dan Nelydia sebab mereka banyak bantu jaga Uqaira. Tanpa mereka, saya mungkin tak mampu urus semua seorang diri,” ujarnya.
Menariknya, Uqasha turut memberi bayangan bahawa keputusannya untuk kembali aktif dalam dunia lakonan bukanlah atas kehendak sendiri, sebaliknya atas permintaan seseorang yang difahamkan adalah suaminya, pelakon Kamal Adli. “Saya kerja bukan kehendak sendiri tetapi dia (difahamkan Kamal) yang kata buatlah ‘comeback’ sedangkan anak baru berusia setahun empat bulan. Dia pun tengah kerja juga untuk sebuah drama. Jadi, sebagai ibu, saya yang ambil anak kerana lelaki dan perempuan jaga berbeza,” katanya lagi.
Uqasha menegaskan dia tidak berniat mengadu, sebaliknya sekadar berkongsi realiti kehidupannya sebagai seorang isteri, pelakon dan ibu. “Saya tidak mengadu cuma beritahu kenapa dan bagaimana saya melalui fasa ini. Namun, apa yang akan berlaku kemudian, saya serahkan kepada takdir,” ujarnya tenang.
Dalam pada itu, nama Uqasha menjadi perhatian selepas timbul spekulasi bahawa hubungan rumah tangganya dengan Kamal sedang berdepan masalah apabila kedua-duanya dilaporkan tidak lagi saling mengikuti akaun Instagram masing-masing. Walaupun tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan, tindakan itu mencetuskan tanda tanya dalam kalangan peminat.
Untuk rekod, Uqasha dan Kamal mendirikan rumah tangga pada 5 November 2021 dalam majlis penuh meriah di Janda Baik, Pahang. Pasangan ini dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Hawra Uqaira, yang dilahirkan pada April 2024.