Ramai Tak Tahu! Rumah Merdeka Di Kedah Ini Rupanya ‘Markas Rahsia’ Kemerdekaan

5 hours ago 4

Kalau bercakap tentang tempat bersejarah yang penuh nilai kemerdekaan, Rumah Merdeka merupakan antara lokasi yang cukup dekat dengan perjalanan awal negara. Terletak di Alor Setar, rumah ini pernah menjadi kediaman rasmi Tunku Abdul Rahman Putra, tokoh yang dikenali sebagai Bapa Kemerdekaan Malaysia.

Sejarah Rumah Merdeka

Gambar: Facebook @Kedah Tourism’s

Sejarah Rumah Merdeka bermula daripada tanah milik Che Manjalara, ibu kepada Tunku. Tanah ini kemudiannya dihadiahkan kepada beliau sebagai tapak kediaman.

Pada tahun 1942, ketika zaman pendudukan Jepun, Tunku membina sebuah rumah papan yang dikenali sebagai Rumah Jalan Baru. Walaupun dibina dalam keadaan serba sederhana, rumah ini menjadi tempat perlindungan dan titik permulaan kepada banyak perkara besar.

Menariknya, pada tahun 1953, apabila Tunku merancang untuk membina rumah baharu, rumah papan tersebut tidak dirobohkan. Sebaliknya, ia diangkat dan dijadikan tingkat atas rumah baharu merupakan satu simbol bagaimana sejarah lama terus dibawa ke masa hadapan.

Setahun kemudian, pada 1954, rumah ini secara rasmi dinamakan sebagai Rumah Merdeka. Nama tersebut dicadangkan oleh sahabat rapat Tunku seperti Senu Abdul Rahman, Mohd Khir Johari dan Tan Cheng Lock. Kos pembinaan rumah ini dianggarkan sekitar RM20,000 dan jumlah itu agak besar pada waktu itu.

Tempat Tunku Berkarya & Berehat

Selain sibuk dengan urusan politik, Rumah Merdeka juga menjadi tempat Tunku mencari ketenangan. Di sinilah beliau meluangkan masa untuk menulis dan berkarya.

Antara hasil penulisan yang dihasilkan termasuk skrip filem klasik seperti “Raja Bersiong” dan “Mahsuri”. Ini menunjukkan sisi lain Tunku yang bukan sahaja seorang pemimpin, tetapi juga seorang yang cintakan seni dan budaya.

Bayangkan, dalam rumah yang sama tempat strategi politik dirancang, lahir juga karya seni yang kekal dikenang hingga hari ini.

Apa Yang Boleh Dilihat Di Dalam Rumah

Masuk sahaja ke dalam Rumah Merdeka, suasana klasik terus terasa. Susun atur rumah masih dikekalkan, memberi peluang kepada pengunjung untuk melihat sendiri gaya hidup Tunku pada waktu itu.

Antara ruang menarik yang boleh diterokai:

  • Ruang tamu– tempat menerima tetamu penting dan perbincangan rasmi
  • Ruang makan (Bilik Sejuk)– satu-satunya bilik yang mempunyai penghawa dingin ketika itu
  • Gambar: Official Website @Kementerian Perpaduan Negara Arkib Negara Malaysia

  • Bilik tidur – ruang peribadi yang sederhana tetapi penuh nilai sejarah
  • Bilik bacaan– tempat Tunku membaca dan menulis
  • Bilik muzik– menggambarkan minat beliau terhadap seni

Selain itu, terdapat juga pelbagai koleksi peribadi yang dipamerkan seperti kamera jenama Canon, Leica dan Yashica, minyak wangi kegemaran, serta barangan harian yang pernah digunakan oleh Tunku.

Info Lawatan Untuk Pengunjung

Bagi yang ingin merasai sendiri pengalaman berada di rumah bersejarah ini, berikut info penting:

Lokasi: Jalan Putra, 05150 Alor Setar, Kedah

Waktu lawatan:

  • Selasa – Khamis: 10.00 pagi – 5.30 petang
  • Jumaat: 10.00 pagi – 12.00 tengah hari & 3.00 petang – 5.30 petang
  • Sabtu & Ahad: 10.00 pagi – 5.30 petang
  • Isnin: Tutup (kecuali cuti umum & cuti sekolah)

Bayaran masuk: Percuma

Melawat Rumah Merdeka bukan sekadar aktiviti santai, tapi satu pengalaman yang buat kita lebih menghargai sejarah negara.

Bila berdiri di ruang yang sama tempat Tunku merancang masa depan negara, memang terasa lain. Ia bukan sekadar melihat sejarah tapi seolah-olah kita berada dalam sebahagian daripadanya.

Kalau ada peluang ke Kedah, masukkan Rumah Merdeka dalam senarai. Tempat ini mungkin nampak sederhana, tapi nilai sejarahnya memang besar.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |