Pemandu E-Hailing Didakwa Tonton Video Ketika Memandu, Penumpang Luah Kebimbangan Soal Keselamatan

7 hours ago 7

Isu keselamatan perkhidmatan e-hailing kembali menjadi perbualan hangat apabila seorang individu tampil berkongsi pengalaman kurang menyenangkan melibatkan seorang pemandu yang didakwa menonton video ketika sedang memandu.

Menerusi satu perkongsian di Thread, individu berkenaan mempersoalkan sama ada tindakan tersebut dibenarkan, apatah lagi pemandu berkenaan bukan sekadar melihat skrin pada papan pemuka, sebaliknya memegang telefon kedua ketika kenderaan sedang bergerak.

Didakwa Tidak Fokus, Pemandu Disifatkan Berbahaya

Menurut individu itu, waktu menunggu yang sepatutnya sekitar empat minit menjadi lebih lama daripada jangkaan.

Lebih membimbangkan, pemanduan dikatakan terlalu perlahan walaupun keadaan jalan kosong, dipercayai kerana pemandu tidak memberi tumpuan penuh di atas jalan raya.

Situasi menjadi lebih cemas apabila pemandu didakwa menukar lorong pada saat akhir untuk memasuki laluan jejambat menuju ke arah Jalan Skudai berhampiran pusat beli-belah di kawasan tersebut.

Tindakan itu menyebabkan sebuah lori membunyikan hon panjang kerana jarak yang terlalu hampir.

Individu berkenaan mengakui berasa risau untuk terus merakam kerana bimbang akan keselamatan diri sekiranya pemandu menyedari perbuatannya.

Cadang Lapor Kepada JPJ

Meninjau ruangan komen, rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa terhadap tahap profesionalisme segelintir pemandu e-hailing masa kini.

Ada yang menyarankan agar aduan terus dibuat kepada khidmat pelanggan dan memberikan penilaian rendah sebagai langkah awal.

via Thread /@stevesharmilan

Tidak kurang juga yang mencadangkan laporan dibuat kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) kerana isu tersebut melibatkan keselamatan jalan raya dan berpotensi membawa risiko kemalangan.

via Thread /@nanimaknani

Beberapa pengguna turut berkongsi pengalaman masing-masing, termasuk pemanduan berbahaya seperti kerap “cilok” kenderaan lain, hampir terlibat dalam kemalangan, kerap terkeluar lorong serta memandu dalam keadaan mengantuk.

Malah, ada yang membandingkan kualiti perkhidmatan dahulu dan sekarang, daripada kenderaan yang bersih serta pemandu berpakaian kemas, kepada pengalaman yang dianggap kurang memuaskan dari segi kebersihan dan etika.

via Thread /@dian9_74

Keselamatan Bukan Perkara Remeh

Isu penggunaan telefon ketika memandu bukan perkara baharu dan sering dikaitkan dengan kemalangan jalan raya.

Dalam konteks perkhidmatan e-hailing, kepercayaan penumpang terhadap tahap keselamatan dan profesionalisme pemandu adalah asas utama.

Apa jua tekanan kerja atau faktor peribadi, keselamatan penumpang dan pengguna jalan raya lain seharusnya menjadi keutamaan.

Platform e-haling pula wajar memastikan pemantauan serta penguatkuasaan standard operasi dilaksanakan secara konsisten.

Netizen mungkin boleh mempunyai pandangan yang berbeza, tetapi satu perkara jelas, bila melibatkan nyawa di atas jalan raya, tiada ruang untuk kompromi.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |