Lokarya Perkenal Semula ‘Deruan’

11 hours ago 8

Selepas dua tahun menyepi demi membina asas artistik yang lebih kukuh, band indie Malaysia Lokarya kembali ke pentas arus perdana dengan memperkenalkan semula single mereka, “Deruan”, sebuah karya yang dirakam tiga tahun lalu, kini diberikan ruang yang lebih tepat untuk bernafas, berkembang dan mewakili identiti sebenar mereka.

Terdiri daripada lima pemuzik, Shaheth Nair (vokal/gitar), Khairi Hamidi (gitar), Rafael Ahmad (bass), Taka (keys) dan Amirul Zailan (dram), Lokarya membentuk bunyi unik yang menggabungkan muzik city pop moden, jiwa soul dengan sentuhan alternatif yang bergaya.

Lokarya Adalah Ruang Eksperimen

Ditubuhkan pada 2019, Lokarya lahir daripada perkataan “lokakarya” yang membawa maksud sesi perbincangan dan kolaborasi untuk menyelesaikan masalah atau membentuk idea.

Menurut vokalis, Shaheth Nair, Lokarya adalah ruang eksperimen mereka dan mengingatkan bahawa muzik tidak terhasil daripada seorang, tapi daripada perjalanan bersama.

“Lokarya adalah ruang eksperimen kami. Setiap lagu bermula sebagai perbualan, tentang hidup, hubungan, kebingungan, atau apa saja yang kami rasa.

Di studio, idea- idea itu digilap secara kolektif. Nama ini mengingatkan kami bahawa muzik tidak terhasil daripada seorang, tapi daripada perjalanan bersama.”-kata Shaheth

Perkenal Semula ‘Deruan’

Lagu ini dirakam hampir tiga tahun lalu, ketika Lokarya masih muda dalam industri dan belum memahami cara terbaik untuk memperkenalkan karya mereka. Hari ini, setelah melalui proses pendewasaan artistik, Deruan kembali sebagai pengenalan yang lebih jelas tentang arah muzik mereka.

“Deruan adalah lagu yang kami sayang sejak awal. Tapi kami tahu waktu itu belum sesuai.

Sekarang, dengan identiti yang lebih kuat, kami rasa lagu ini akhirnya berada pada tempat yang betul. Ia menggambarkan DNA Lokarya yang sebenar,” jelas pemain bass,  Rafael Ahmad

Kini, Lokarya berada di fasa akhir pembikinan album penuh pertama mereka, sebuah projek yang mencerminkan perjalanan panjang mereka dari 2019 hingga 2025. Dalam pasaran muzik yang kompetitif, Lokarya tidak mahu mengejar trend, mereka mahu membina ruang sendiri.

YouTube video

Dengan “Deruan” sebagai pembuka jalan, Lokarya kini bersedia melangkah ke fasa seterusnya, memperkenalkan bukan sahaja lagu, tetapi dunia sonik, visual dan naratif yang mereka bina selama bertahun-tahun.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |