Konsert Artis Seberang Makin Sendu? Kini Nasyid Pula Naik Takhta!

2 hours ago 3

MURAI perasan satu fenomena pelik tapi menarik akhir-akhir ini. Konsert nasyid makin laku keras, siap hampir sold out!

Baru-baru ini konsert UNIC, ya UNIC yang dulu kita hafal lagu Hanya Tuhan Yang Tahu, berjaya buat peminat berebut tiket macam beli barangan ‘sale’ 11.11. Belum reda kejutan itu, konsert Inteam pun pernah ‘fullhouse’ dalam masa singkat.

Soalnya sekarang, adakah rakyat Malaysia dah mula beralih selera? Dari menjerit tengok artis seberang, kini lebih tenang dengan alunan zikir dan bait lirik penuh makna?

Kalau kita lihat trend, mungkin ya. Mungkin orang ramai mula cari hiburan yang bukan sekadar berseronok, tapi ada nilai rohani dan nostalgia. Nasyid ini ada aura tersendiri. Liriknya lembut, mesejnya mendalam, dan melodinya mengingatkan kita pada zaman sekolah dulu. Waktu semua pakai uniform putih biru, hafal lagu Rabbani untuk pertandingan nasyid peringkat daerah.

Tapi, satu lagi faktor yang tak boleh dinafikan, harga tiket konsert nasyid biasanya lebih ‘rahmah’. Macam konsert UNIC, Harga bermula RM89, paling mahal pun serendah RM249. Tak perlu korek tabung kecemasan untuk tengok live show. Pelajar pun boleh join, golongan bekerja pun rasa berbaloi. Jadi tak hairanlah bila sambutan makin meningkat.

Sementara itu, dari sudut lain, penganjur konsert pula mula perlahan-lahan kurangkan membawa artis seberang. Katanya sambutan semakin suam-suam kuku. Ada yang berpendapat mungkin sebab terlalu kerap, sampai tiada rasa ‘eksklusif’. Bila dah selalu sangat datang, penonton pun jadi jemu.

Berbeza dengan konsert nasyid yang jarang-jarang muncul. Bila ada, semua rasa teruja. Macam jumpa balik kawan lama yang dulu sama-sama hafal lagu Raihan masa perhimpunan pagi.

Bagi MURAI ini bukan soal genre mana lebih hebat, tapi lebih kepada selera semasa rakyat. Kadang-kadang kita perlukan hiburan yang buat hati tenang, bukan sekadar gegar dewan.

Mungkin inilah fasa baru dalam dunia hiburan tempatan, fasa di mana nasyid bukan lagi dianggap ‘hiburan lama’, tapi satu bentuk muzik yang menyatukan jiwa dengan mesej yang baik. Dan kalau trend ni berterusan, tak mustahil konsert nasyid akan jadi ‘mainstream’ semula.

Apa pun, rakyat Malaysia ni memang unik. Hari ni minat K-pop, esok boleh pula hafal lagu nasyid. Tapi itulah indahnya, selera kita luas, asalkan tak lari dari nilai dan rasa. Ini sekadar pandangan peribadi MURAI.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |