“Jodoh Memang Tertulis, Tapi Usaha Tetap Wajib”- Nasihat Ustaz Adnin Jadi Perbualan Netizen

9 hours ago 4

Baru-baru ini, satu perbualan menarik antara seorang netizen dan penceramah muda terkenal, Ustaz Adnin atau nama sebenarnya Ustaz Haji Ahmad Adnin bin Datuk Haji Roslan mencuri perhatian ramai selepas soalan berkaitan jodoh diajukan kepadanya.

“Ustaz, jodoh tu tak payah cari kan? Dia datang sendiri kan? Ustaz doakan saya dapat jodoh yang soleh… terima kasih ustaz.” Tanya netizen kepada Ustaz Adnin dengan penuh harapan.

@adninroslan

Jodoh #UstazAdnin #TarbiahSentap

♬ original sound – Ustaz Adnin – Ustaz Adnin

Namun, jawapan Ustaz Adnin yang tegas tetapi berhemah membuatkan ramai tersentuh. Menurutnya, jodoh bukanlah sesuatu yang hadir secara tiba-tiba atau muncul tanpa usaha.

“Kena la usaha cari. Takkan nak duduk rumah, tiba-tiba magik jodoh datang. Bukan macam tu sifir kehidupan.”

Beliau menjelaskan bahawa konsep jodoh sama seperti rezeki telah ditetapkan, tetapi tetap memerlukan usaha. Allah menetapkan rezeki setiap hamba-Nya, namun pada masa yang sama memerintahkan manusia untuk berusaha mencari rezeki yang halal. Begitu juga dengan jodoh, ia sudah tertulis, tetapi Allah menyuruh kita berusaha mencari pasangan yang baik melalui cara yang baik.

Tambahnya lagi, usaha itu datang dalam pelbagai bentuk, sama ada memperbaiki diri, membuka ruang perkenalan yang halal, ataupun melibatkan diri dalam komuniti yang positif.

“Adapun hasil belakang cerita, kita serahkan kepada Allah. Tapi usaha kena buat,” tegas beliau.

“Saya doakan buat mereka yang sedang mencari jodoh, semoga Allah pertemukan korang dengan jodoh yang baik di waktu yang baik, insya-Allah.”

Ustaz Adnin turut menitipkan doa buat semua yang sedang berusaha mencari pasangan hidup.
Perkongsiannya itu mendapat pelbagai reaksi positif kerana ramai menyedari bahawa jodoh bukan sekadar menunggu, tetapi satu perjalanan yang memerlukan ikhtiar, doa dan tawakal.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata netizen tidak melepaskan peluang meluahkan rasa lucu dan ‘struggle’ masing-masing.

“Tak pandai ngorat ni, kita anak mak”

“Macam mana nak cari tu, mengorat, macam mana nak mulakan pengenalan, siapa-siapa ada pengalaman?”

Komen-komen tersebut jelas menunjukkan bahawa ramai sebenarnya ingin berusaha, tetapi masih tercari-cari keberanian dan panduan untuk memulakan langkah pertama.

Dengan usaha yang betul, keyakinan kepada ketentuan Allah, dan kesabaran, setiap orang pasti akan dipertemukan dengan pasangan yang terbaik pada masa yang tepat.

Semoga semua yang menanti jodoh dipermudahkan urusan mereka.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |