Ingatkan Dekat Phuket, Rupanya Di Langkawi! Ngopi Pantai Port Tepi Pantai Paling Healing

5 hours ago 2

Kalau ke Langkawi, memang tak sah kalau tak singgah lepak tepi pantai sambil minum kopi. Bayangkan pagi yang tenang dengan bunyi ombak menghempas perlahan, angin laut sepoi-sepoi dan secawan kopi sejuk di tangan itulah pengalaman yang boleh kalian rasa di Ngopi Pantai Cafe Bar.

Kalau sekali pandang, ramai yang ingatkan Ngopi Pantai Cafe Bar ni macam kafe tepi pantai di Thailand. Suasananya memang ada vibe ala-ala Krabi atau Phuket kerana tempatnya santai, terbuka dan dekat sangat dengan laut sampai boleh dengar jelas bunyi ombak setiap kali angin bertiup.

Terletak betul-betul menghadap laut di kawasan Pantai Tengah berhampiran Pantai Cenang, kafe ini jadi antara spot santai yang makin dikenali pelancong.

Suasana Tenang Dengan Pemandangan Laut Terbuka

Sebaik melangkah masuk, kalian akan disambut dengan bau kopi yang harum. Ruang dalamannya terhad dengan dua meja sofa yang selesa, namun tarikan utama sudah tentu di bahagian luar. Meja kayu yang tersusun menghadap laut membolehkan pengunjung menikmati pemandangan air biru sambil ditemani bunyi ombak.

Ramai ambil peluang datang waktu pagi untuk tengok matahari terbit atau lewat petang bagi menikmati suasana matahari terbenam. Tak hairanlah kebanyakan pengunjung meluangkan sekitar satu jam atau lebih di sini.

Menu Kopi & Snek Ringan Jadi Tarikan

Ngopi Pantai terkenal dengan kopi yang menggunakan biji kopi tempatan, menampilkan rasa yang seimbang dan tidak terlalu pahit. Antara pilihan yang sering jadi kegemaran ialah iced coffee bermula dari RM14 dan ini memang sesuai dengan cuaca panas Langkawi.

Selain kopi, ada juga pilihan pastri dan pencuci mulut seperti cinnamon roll dan blueberry cheesecake yang sering dipuji pelanggan. Jika mahu sesuatu yang lebih mengenyangkan, kalian juga boleh memesan makanan dari premis berdekatan seperti Chili Kampung untuk hidangan Melayu atau makanan Arab, dan menikmatinya di meja kalian. Kafe ini adalah layan diri dan hanya memesan di kaunter sahaja.

Harga Sedikit Premium, Tapi Berbaloi

Dari segi harga, ia mungkin sedikit tinggi berbanding purata harga di Langkawi. Namun, dengan lokasi menghadap pantai, suasana yang tenang serta layanan staf yang mesra dan profesional, pengalaman yang ditawarkan memang setimpal.

Kemasukan adalah percuma dan kafe ini mudah diakses sama ada dengan kereta, motosikal atau perkhidmatan e-hailing. Parkir juga disediakan secara percuma untuk pelanggan.

Waktu Operasi dan Lokasi

Alamat: Cenang Hill Beachfront Lot 113, Tasik Anak, Teluk Bharu, Jalan Pantai Tengah, 07000 Langkawi, Kedah, Malaysia

Waktu Operasi: Isnin – Ahad (8.00 pagi – 8.00 malam)

Bagi yang mencari lokasi santai untuk minum kopi sambil menikmati pemandangan laut yang indah, Ngopi Pantai Cafe Bar boleh jadi salah satu tempat  yang terbaik sepanjang percutian kalian di Langkawi. Tak perlu suasana mewah, cukup dengan kopi yang sedap dan pemandangan yang cantik.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |