Kalau anda pernah dengar lagu “Welcome to the Black Parade” oleh My Chemical Romance (MCR), mesti terngiang-ngiang intro piano yang mendayu-dayu tu. Lepas tu tiba-tiba terus meletup dengan gitar, dram, dan jeritan penuh semangat:
“We’ll carry on! We’ll carry on!”
Lagu ini memang legend. Ia jadi anthem rasmi generasi emo sekitar 2000-an. Tapi yang menarik, lagu ini bukan sekadar tentang patah hati atau fesyen eyeliner tebal semata-mata. Ada yang kata lagu ini tentang kematian, ada juga yang kata tentang harapan… malah ada juga yang sampai mengaitkannya dengan Dajjal. Haa, serius?
Kematian Pun Ada Parade?
Menurut Gerard Way, vokalis utama MCR, lagu ini mengisahkan seorang lelaki yang mereka gelar The Patient, yang sedang nazak di katil hospital. Dalam saat-saat terakhirnya, dia “disambut” oleh sebuah perarakan hitam yang megah dan dramatik. Tapi jangan bayangkan macam perarakan Hari Kebangsaan, ini lebih kepada simbolik tentang bagaimana kita melihat kematian.
Gerard pernah cakap dalam satu temubual dengan Rolling Stone pada tahun 2006, bila seseorang mati, dia akan dijemput oleh memori paling kuat dalam hidupnya. Dalam cerita The Patient, kenangan paling kuat dia ialah masa ayahnya bawa dia tengok parade masa kecil. Itu lah yang datang menyambutnya di penghujung nyawa.
Katanya, “I like to think that when you die, you get taken by the strongest memory you have.” Bunyi macam filem indie, kan?
Eh, Ni Cerita Dajjal Pula?
Tapi tunggu dulu. Cerita tak habis di situ. Dalam salah satu ceramahnya, pendakwah bebas tempatan, Ustaz Auni Mohamed, pernah menyebut bahawa lagu ini sebenarnya penuh dengan simbol-simbol yang merujuk kepada kisah akhir zaman. Menurut beliau, parade hitam dalam lagu dan video muziknya dikatakan menggambarkan perarakan 70,000 Yahudi dari Isfahan yang akan menyambut kemunculan Dajjal, seperti disebut dalam hadis.
Menurut tafsiran beliau, simbol-simbol dalam video muzik ini menggambarkan propaganda halus, yang sengaja diselitkan dalam hiburan supaya penonton tidak sedar mereka disajikan dengan agenda gelap. Siapa sangka lagu yang disangka cuma untuk menangis dalam bilik sebenarnya dikaitkan pula dengan ramalan eskatologi.
Cuma perlu diingat, pihak band sendiri tidak pernah pun mengaku atau menyatakan apa-apa tentang Dajjal. Ini lebih kepada tafsiran peribadi Ustaz Auni berdasarkan simbol-simbol yang beliau lihat.
Tetapi Tetap Ada Pesan Positif
Walaupun penuh dengan tema gelap, pakaian hitam, make-up tebal dan marching band misteri, lagu ini sebenarnya membawa mesej yang positif juga. Baris paling ikonik dalam lagu ini:
“We’ll carry on, we’ll carry on…”
adalah seruan supaya kita tetap kuat, jangan menyerah, dan terus melangkah walaupun hidup ini penuh dengan ujian.
Kalau ikut MCR, ia tentang menerima kematian dengan berani dan penuh makna. Kalau ikut tafsiran Ustaz Auni, ia juga boleh jadi contoh bagaimana budaya pop menyelitkan simbol-simbol akhir zaman secara halus.
Sebagai pendengar, kita bebas menilai dan mengambil pengajaran. Emo boleh, semangat pun boleh, asalkan jangan lupa berfikir dan kritikal bila menelan apa-apa hiburan.