“Abah tolong berhenti, abah ‘cut’ sikit sahaja.”
Rayuan ringkas namun penuh rasa tertekan itu diluahkan oleh Ammar Ahyan, anak sulung usahawan sensasi Datuk Aliff Syukri, dalam satu siaran langsung yang kembali mencetuskan perhatian ramai. Dalam video berkenaan, Ammar yang berusia 17 tahun dilihat duduk diam dan mempamerkan riak wajah tidak selesa apabila bapanya mula menggunting rambutnya secara paksa, meskipun tidak melawan.
Sesi siaran langsung yang kononnya mahu memperlihatkan momen kebapaan itu bagaimanapun mengundang pelbagai reaksi apabila netizen mula mempertikaikan tindakan Aliff yang dianggap keterlaluan dan memaksa, terutama terhadap seorang remaja yang kini dalam fasa menuju dewasa. Wajah Ammar yang jelas terpaksa, ditambah dengan suara rayuannya yang cuba memujuk bapanya agar berhenti, cukup untuk membuatkan ramai rasa simpati.
Aliff, dalam reaksinya, menjelaskan bahawa niatnya hanyalah untuk memastikan rambut Ammar kelihatan kemas dan rapi. Malah, dia turut memberitahu bahawa dia pernah bekerja di salon suatu ketika dahulu dan beranggapan dirinya masih mempunyai sentuhan seorang penata gaya. “Tak banyak pun (potong), abah dulu kerja salun. Abah ini penata gaya, nak kemaskan sahaja,” katanya dalam siaran itu.
Menurut Aliff lagi, dia hanya mahu Ammar tampil lebih segak dan bersih terutama apabila bakal bertemu rakan-rakannya termasuk Cik B, anak kepada usahawan kosmetik popular, Datuk Seri Vida. “Barulah tak serabai, pening aku tengok rambut kau. Percayalah awak akan nampak kacak,” katanya dengan nada separuh berseloroh.
Namun begitu, dalam ruangan komen, netizen tidak semuanya menerima pendekatan tersebut dengan baik. Ramai menyuarakan rasa kurang senang dengan cara Aliff yang dianggap memaksa anak sendiri atas alasan penampilan. “Memang Ammar jenis penyabar tetapi datuk tak boleh terlalu paksa, dia pula kini meningkat dewasa,” tulis seorang pengguna TikTok. “Sabarlah Ammar dengan perangai bapamu, kami sayangkan awak,” tambah seorang lagi, menyuarakan simpati.
Tidak kurang juga yang mengatakan bahawa walaupun sebelum ini interaksi antara Aliff dan Ammar sering menghiburkan dan mencuit hati, namun kali ini momen yang dirakam terasa agak keterlaluan dan menjentik emosi penonton. “Selalu rasa kelakar tetapi kali ini tindakan datuk tak boleh diterima, kasihan Ammar, wajah dia sedih!” komen seorang pengguna yang lain.
Ammar yang terkenal dengan sifat naif dan polosnya dalam setiap sesi siaran langsung mempromosikan produk keluarganya sering menjadi perhatian netizen kerana kejujurannya yang tidak dibuat-buat. Anak sulung kepada enam adik-beradik ini juga mempunyai impian besar untuk menjadi seorang ahli politik satu hari nanti, cita-cita yang jelas menunjukkan dia sedang membina identitinya sendiri jauh daripada bayang-bayang bapanya.
Walau apapun niat di sebalik tindakan Aliff Syukri, momen tersebut sekali lagi membuka perbincangan dalam kalangan netizen mengenai batasan antara hiburan dan privasi anak-anak khususnya dalam era media sosial yang sering kali merakam segalanya tanpa tapisan.