Pelakon popular Indonesia, Jefri Nichol mencuri perhatian peminat tempatan apabila meluahkan rasa kagum terhadap lakonan Sharnaaz Ahmad dalam filem aksi tempatan Blood Brothers yang kini sedang hangat ditayangkan di pawagam seluruh negara. Kehadirannya di panggung bukanlah kebetulan, sebaliknya ditemani kekasih hati yang juga pempengaruh terkenal, Ameera Khan, yang membawanya menonton filem yang kini sudah berjaya meraih kutipan lebih RM45 juta.
Jefri secara spontan memuji lakonan Sharnaaz yang membawakan watak Ghaz dengan penuh karisma, malah bergurau mahu menjadi gengster seperti karakter tersebut. Dalam satu hantaran Instagram Story, Jefri menyatakan, “Blood Brothers bagus gila! Nak jadi gengster seperti Ghaz,” sambil disertakan emoji yang menggambarkan keterujaannya.
Reaksi itu segera dibalas oleh Sharnaaz sendiri, yang menghargai sokongan dari bintang Ali Topan tersebut. “Terima kasih adik terpaling ‘handsome’ ku!” tulis Sharnaaz dengan gaya santainya yang tersendiri. Tidak ketinggalan, Jefri turut membalas dengan panggilan mesra dan seloroh yang mencuit hati peminat. “Terima kasih abangku paling garang dengan jambang dari syurga. Blood Brothers di pawagam sekarang!” tulisnya, seolah memberi sokongan promosi kepada filem tersebut.
Kehadiran Jefri di Malaysia bukan sekadar menonton filem, sebaliknya difahamkan dia kini berada di sini atas urusan kerja sambil meluangkan masa bersama Ameera. Pasangan ini sebelum ini pernah mencetuskan perbualan hangat netizen apabila secara terbuka berkongsi hubungan cinta mereka di media sosial. Aksi mesra mereka, termasuk berpelukan dan memuat naik momen romantik, pernah mengundang kecaman sesetengah pihak. Namun begitu, Ameera dalam satu kenyataan pernah menjelaskan bahawa keluarganya sudah merestui hubungan tersebut dan menyifatkan Jefri sebagai lelaki yang sangat memahami dan penyayang.
Pujian terbuka daripada Jefri terhadap Sharnaaz ternyata memberi warna baharu dalam hubungan antara pelakon Malaysia dan Indonesia, sekaligus memperlihatkan sokongan silang negara yang semakin berkembang dalam industri hiburan serantau. Apa yang pasti, Blood Brothers kini bukan sahaja berjaya dari segi kutipan, malah mencuri hati bintang besar dari seberang.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.