Jackie Chan Dedah Identiti Ayahnya Seorang Perisik Kerajaan China, Ibu Pula Terlibat Candu

1 day ago 8

Pelakon legenda Jackie Chan membuat pendedahan mengejutkan apabila menceritakan bahawa bapanya, Charles Chan, sebenarnya seorang perisik untuk kerajaan China di bawah pemerintahan Nasionalis Kuomintang sekitar tahun 1940-an. Lebih memeranjatkan, Jackie turut memberitahu bahawa nama keluarganya yang sebenar bukan Chan, sebaliknya Fong.

Pengakuan itu dikongsikan Jackie dalam satu temu bual bersama majalah People, dan menurutnya rahsia besar itu hanya diketahuinya ketika berusia sekitar 40 tahun. Ia berlaku ketika mereka dalam perjalanan menaiki kereta, dan bapanya tiba-tiba meluahkan segalanya dalam suasana yang cukup tenang. Jackie masih mengingati kata-kata bapanya yang ketika itu sudah berusia, “Anakku, ayah sudah tua. Mungkin tidur yang tak bangun lagi. Ayah ada rahsia, awak bukan Chan, nama sebenar awak Fong.”

Jackie, 71, mengakui dia terkejut dan sukar mencerna maklumat yang terlalu besar itu secara tiba-tiba. Menurutnya, ayahnya, yang nama asalnya Fang Daolong, melarikan diri ke Hong Kong sekitar tahun 1950-an untuk mengelak ditangkap oleh kerajaan Komunis.

Kisah kehidupan keluarganya bukan sesuatu yang asing bagi pengikut setia Jackie. Sebuah dokumentari bertajuk Traces of the Dragon: Jackie Chan and His Lost Family yang diterbitkan pada 2003 turut mengangkat kisah silam kedua ibu bapanya. Ia menceritakan bagaimana Charles menjalankan tugas sebagai perisik pada era Perang Saudara China, manakala ibunya, Lee-lee, pernah terbabit dengan aktiviti penyeludupan candu dan perjudian.

Mengimbas zaman kecilnya, Jackie mengakui dia seorang kanak-kanak nakal yang sering bergaduh, menyebabkan bapanya menghantarnya ke kelas seni mempertahankan diri. Malah, bapanya akan memarahinya jika dia bergaduh dan turut pergi ke rumah mangsa untuk meminta maaf. Jackie kemudian digalakkan menyertai kumpulan opera Cina yang banyak menggunakan unsur seni bela diri dalam persembahan mereka.

Bermula sebagai pelakon lagak ngeri atau stuntman dalam filem-filem Bruce Lee, Jackie mengingati Bruce sebagai seorang yang sangat baik dan menyukainya sejak mula.

Dalam pada itu, Jackie turut menyebut nama pelakon Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh, sebagai sahabat sejati dalam hidupnya. Mereka mula rapat selepas berlakon dalam satu iklan bersama ketika Michelle baru dinobatkan sebagai Ratu Malaysia. Bagi Jackie, Michelle bukan sahaja berbakat besar tetapi juga berani melakukan aksi lagak ngeri sendiri.

“Dia adalah kawan baik saya. Saya akan sentiasa ada jika dia menghubungi saya. Dan dia sentiasa ada ketika saya menghubungi dia,” ujar Jackie dengan penuh penghargaan terhadap persahabatan yang sudah terjalin bertahun lamanya.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |