Mayor’s Courtyard, Rumah Tangsi, Kuala Lumpur hari ini memang penuh ‘aura’. Kami di Murai.my berpeluang hadir sendiri ke majlis sidang media khas yang cukup meriah anjuran Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), bersama rakan strategik mereka Istana Budaya dan Malaysian Philharmonic Orchestra (MPO).
Bukan majlis biasa-biasa ya, sebab Datuk Bandar Kuala Lumpur, YBhg. Dato’ Seri Maimunah Mohd Sharif sendiri yang hadir untuk menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara tiga pihak ni. Lokasi pulak bukan calang-calang bertempat di Mayor Courtyard, Jalan Tangsi, kawasan heritage yang memang ikonik dengan seni dan sejarah.

Apa yang DBKL umumkan hari ini sebenarnya sangat menarik. Ini bukan sekadar program semata-mata, tapi satu langkah besar untuk jadikan Kuala Lumpur sebagai hab seni dan budaya serantau. MoU ni jadi tanda permulaan untuk pelbagai projek termasuk Festival Orkestra Kuala Lumpur (FOKL) yang akan berlangsung dengan skala lebih besar hingga tahun 2026 nanti!
Antara yang diumumkan termasuklah pelancaran kalendar acara tahunan menerusi portal VisitKL, dan satu lagi event besar-besaran iaitu Festival Taman Kuala Lumpur yang akan berlangsung pada Oktober 2025.
FOKL – Muzik, Bakat Muda & Semangat Komuniti

Satu benda yang kami rasa sangat ‘fresh’ ialah pendekatan FOKL ini. Ia bukan sekadar program orkestra elit, tapi betul-betul fokus untuk tarik minat anak muda dan komuniti. Akan ada persembahan orkestra sekolah pada 17 dan 24 Jun di Auditorium DBKL dan pelajar-pelajar ini memang diberi peluang tunjuk bakat secara langsung atas pentas!
Malah, DBKL pun tak main-main bila mereka umumkan kerjasama dengan Tokyo Symphony Orchestra untuk membimbing Orkestra Belia Kuala Lumpur. Macam yang Datuk Bandar sebut masa tu, ini semua demi bangunkan bakat baru dan bina satu ekosistem seni yang mampan.

Siap Ada Forum Ilmiah & Akses Percuma Untuk Semua
Lagi satu inisiatif yang kami sendiri tak jangka: Orchestra Festival Forum. Ia akan jadi platform untuk berkongsi ilmu, kepakaran dan pengalaman antara pemain industri. Fokusnya jelas nak hasilkan lebih banyak pemuzik berbakat dan pada masa yang sama galakkan keyakinan serta kreativiti dalam kalangan belia.
Dan yang paling kami suka, FOKL ini inklusif habis. DBKL umumkan sebanyak 70% tempat duduk untuk konsert akan dibuka secara PERCUMA kepada orang ramai. Siap ada tempat duduk khas untuk OKU, dan konsert amal akan dianjurkan untuk bantu komuniti seperti Persatuan Orang Buta Malaysia. Ini baru betul seni untuk semua!
Kuala Lumpur Di Mata Dunia
Apa yang DBKL sedang buat ni sebenarnya sangat selari dengan hala tuju besar negara. Lebih-lebih lagi bila Malaysia jadi pengerusi sidang ASEAN tahun ini dan sedang bersedia untuk Tahun Melawat Malaysia 2026. Program macam FOKL dan inisiatif seni lain bukan je bantu naikkan nama KL di peringkat antarabangsa, tapi juga satukan komuniti serantau menerusi budaya dan muzik.
Semuanya digerakkan melalui pendekatan 4P – Public, Private, People, Partnership, dan ini jelas bila tengok bagaimana DBKL rangkul semua pihak. Dari institusi seni, pelajar, sampai ke masyarakat setempat.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.