Zizan Razak menegaskan setiap bantuan atau derma yang diberikan bukanlah untuk meraih perhatian atau pujian, sebaliknya semata-mata kerana Allah SWT dengan niat meringankan beban golongan yang memerlukan. Menurut pelakon dan pelawak berusia 41 tahun itu, segala rezeki yang dimiliki hari ini juga bukan datang daripada dirinya seorang, sebaliknya hasil doa ramai pihak termasuk ibu bapa dan peminat yang sentiasa mendoakannya.
“Saya buat kerana Allah kerana semua yang saya dapat hari ini pun sebab doa orang ramai termasuk ibu bapa, peminat dan bukan milik saya seorang. Kadang-kadang dalam RM10 yang kita ada, RM3 sahaja milik kita, selebihnya RM7 itu milik orang lain. Kalau boleh, saya nak sorok, tetapi saya fikir ada baik Allah buka cerita ini untuk beri inspirasi kepada orang. Itu sahaja, saya fikir positif kerana bimbang takut kebanggaan itu akan melalaikan saya,” katanya ketika ditemui selepas acara Polis Evo Wonda-Ful 10 Years diadakan sempena ulang tahun ke-10 francais filem popular itu.
Namun, di sebalik kemurahan hati yang menjadi pujian ramai, Zizan juga pernah berdepan pengalaman pahit apabila ditipu segelintir individu yang cuba mengambil kesempatan. Katanya, ada kes melibatkan ribuan ringgit yang menyebabkan dia kini lebih berhati-hati agar tidak menjadi mangsa penipuan.
“Kes yang menipu atau ‘scam’ banyak, membabitkan lebih ribuan ringgit. Namun, kalau dia memang benar-benar susah, saya akan bantu seikhlas mungkin. Ada yang saya pernah bantu kemudian dia minta lagi dengan beritahu kali ini untuk emak dia. Saya kasihan tetapi lepas dapat dia datang lagi, jadi mungkin itu ‘scam’. Apapun saya sentiasa cuba sedaya upaya untuk tolong,” ujarnya.
Sebelum ini, nama Zizan pernah menjadi bualan hangat selepas beberapa individu termasuk rakan artis seperti Amir Raja Lawak berkongsi pengalaman menerima bantuan daripadanya. Sejak itu, ramai memuji sikap pemurah dan rendah hati pelakon itu yang dilihat tidak pernah menunjuk-nunjuk, malah dianggap sebagai contoh terbaik dalam kalangan selebriti tanah air.