Legenda Hollywood, Robert Redford, pelakon kacak yang selalu jadi kegilaan ramai sejak era 60-an telah menghembuskan nafas terakhir pada 16 September 2025. Menurut publisistnya, Cindi Berger, Redford pergi dengan tenang di rumahnya di Sundance, Utah, dikelilingi insan tersayang. Usianya ketika itu 89 tahun.
Bagi peminat filem klasik, nama Robert Redford memang tak asing. Dialah hero dalam Butch Cassidy and the Sundance Kid dan All the President’s Men, dua filem yang terus hidup dalam memori pencinta seni. Tapi Redford bukan sekadar pelakon. Dialah pengarah yang membawa pulang anugerah Oscar melalui Ordinary People dan menghadiahkan dunia dengan A River Runs Through It, bukti cintanya pada seni perfileman yang tak pernah padam.
Sumbangan Redford lebih daripada sekadar layar perak. Beliau mendirikan Sundance Institute, organisasi yang melahirkan Festival Filem Sundance, pentas penting untuk pembikin filem indie seluruh dunia. Sejak berpindah ke Utah pada 1961, Redford juga jadi pejuang alam sekitar, tekun mempertahankan keindahan landskap semula jadi Amerika Barat.
Walaupun usianya kian meningkat, Redford tetap berlakon dengan penuh jiwa. Siapa boleh lupa kemunculannya semula bersama Jane Fonda dalam filem Netflix Our Souls at Night pada 2017?
Setahun kemudian, dia mempersonakan penonton dengan The Old Man & the Gun, lakonan yang katanya jadi penutup kariernya. Namun, Redford pernah berkata dia tak pernah faham konsep bersara—bagi beliau, hidup terlalu berharga untuk berhenti berkarya.
Perjalanan hidupnya juga penuh ujian. Dilahirkan pada 1936 di Santa Monica, California, Redford pernah kecundang di universiti selepas hilang arah dan terjebak dengan minuman keras. Tapi semangatnya untuk seni tak pernah pudar.
Dari Eropah ke New York, dia menimba ilmu sehingga akhirnya melakar nama sebagai bintang besar. Lebih menyayat hati, Redford pernah kehilangan anak sulungnya, Scott, ketika bayi dan pada 2020, anaknya David pula pergi akibat kanser.
Kini, dunia kehilangan seorang maestro sejati. Robert Redford meninggalkan warisan yang bukan hanya hidup dalam filem-filem hebatnya, tapi juga dalam festival dan gerakan alam sekitar yang dibinanya. MURAI pasti, semangatnya akan terus jadi inspirasi, walaupun jasadnya sudah tiada. Rest in peace, Robert Redford, bintang yang akan terus bersinar di hati peminat selamanya.