Nora Danish semakin tidak berselindung apabila hubungan rapatnya dengan jejaka dikenali sebagai Mickey Ayo mula mendapat perhatian ramai selepas kedua-duanya dilihat saling menghadiahkan barangan istimewa. Di Instagram, Mickey menghadiahkan sepasang kasut sukan putih jenama QC kepada Nora, manakala pelakon berusia 43 tahun itu pula membalas pemberian tersebut dengan jam tangan sukan berjenama Suunto. Momen itu sekaligus menguatkan lagi spekulasi bahawa mereka sebenarnya sedang dilamun cinta, meskipun kedua-duanya masih enggan memberi pengesahan kepada umum.
Sebelum ini, nama Nora hangat diperkatakan apabila dia berkongsi foto seorang lelaki berkopiah putih di media sosial, sehingga mencetuskan teka-teki tentang status hatinya. Perhatian terhadap hubungan peribadinya semakin meningkat apabila tular pula sekeping kad jemputan misteri dengan huruf M dan N serta tertera tarikh 8 September 2025. Perkara itu mencetuskan andaian bahawa mereka bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi. Bagaimanapun, Nora menafikan perkara tersebut dan menegaskan ia tidak benar sama sekali, sekali gus meredakan spekulasi liar yang berlegar di media sosial.
Untuk rekod, Nora atau nama penuhnya Nora Mohd. Danish Hanif pernah dua kali mendirikan rumah tangga. Perkahwinan keduanya bersama Nedim Nazri berlangsung pada 30 Mac 2017, namun berakhir dengan perceraian pada 19 Jun 2024. Hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Mohamed Neqayl, kini berusia 7 tahun. Sebelum itu, Nora juga pernah berkahwin dengan Jejai pada 20 Jun 2006 dan berpisah pada 10 Julai 2008. Mereka mempunyai seorang anak lelaki, Putra Rayqal, yang kini sudah menginjak usia 17 tahun.
Meskipun enggan terlalu cepat membuka kisah peribadi kepada umum, Nora dilihat semakin terbuka berkongsi momen kebahagiaan bersama Mickey. Sikap tersebut membuatkan ramai peminat dan pemerhati hiburan tertanya-tanya sama ada hubungan istimewa itu akan terus melangkah ke fasa lebih serius, ataupun sekadar berakhir dengan tanda tanya. Apa yang pasti, setiap langkah Nora kini menjadi perhatian, apatah lagi statusnya sebagai selebriti yang sering menjadi bualan ramai.