Jimat Besar, Jalan Jauh! Ini Cara Paling Bajet dan Chill Untuk ‘Explore’ Bandar Sydney, Australia

6 hours ago 6

Pada bulan April yang lalu, MURAI ke Sydney untuk menikmati Vivid Sydney 2025, hasil trip bersama AirAsia X dan Tourism New South Wales. Satu benda yang kami cepat-cepat sedar bila sampai sini: Sydney memang cantik… tapi belanja dekat sini pun cantik juga. Bayangkan, secawan kopi paling basic pun sudah AU$5.00. Itu baru kopi. Kalau nak makan tengah hari siap air, silap-silap kredit kad anda berbunyi amaran “over limit” sebelum sempat balik Malaysia.

Jadi, untuk yang nak jaga bajet (dan maruah kredit kad masing-masing), sambil tetap nak jelajah seluruh Sydney & Bondi Beach, eloklah naik Big Bus Hop-On Hop-Off. Memang pilihan paling selamat, paling bijak, paling tak menyakitkan hati.

Big Bus ini bukan saja ikonik dengan warna merah menyala dan atap terbuka untuk rambut anda berkibar, tetapi juga sangat praktikal. Dengan harga tiket bermula sekitar AU$73.00, anda boleh keliling bandar Sydney sampai Bondi Beach,  berhenti di mana saja, selama mana suka, dan bila bosan, boleh sambung naik bas seterusnya.

Tidak perlu google arah, tidak perlu gaduh dengan peta, tidak perlu marah-marah sebab tersesat. Semuanya sudah siap. Naik, duduk, dengar cerita dalam audio commentary, ambil gambar, turun bila rasa nak.

Oh ya, laluan dia ada 2 route dengan 34 hentian. Jadi kalau nak rasa diri macam pelancong yang sibuk, inilah peluang.

Apa Yang Anda Dapat Dengan Satu Tiket?

  • Harga bermula AU$73.00 (jauh lebih murah daripada bayar teksi sampai limit kad tersangkut)
  • Pilih nak 24 jam atau 48 jam, ikut mood dan stamina
  • Wi-Fi percuma di atas bas, jadi boleh terus buat-buat sibuk update media sosial
  • Audio commentary dalam 8 bahasa, sesuai kalau nak berlagak tahu sejarah bandar

  • Kanak-kanak bawah 3 tahun naik percuma, jadi kalau bawa budak kecil, boleh buat alasan “saya berjimat”

Antara Tempat Ikonik Yang Boleh Dilawati

Beberapa hentian yang tak patut dilepaskan:

  • Sydney Opera House – wajib ambil gambar di sini untuk tunjuk dekat kawan-kawan
  • Sydney Harbour Bridge – boleh naik atas kalau berani, atau cukup posing dari bawah
  • Darling Harbour – penuh dengan restoran, muzium, dan Sea Life Aquarium
  • Royal Botanical Gardens – untuk mereka yang suka hijau-hijau, atau nak duduk sekejap fikir masa depan
  • Bondi Beach – pantai paling terkenal, walaupun sebenarnya ramai datang sini cuma nak ambil gambar

Tip Sebelum Naik Big Bus

  • Jangan bawa bagasi besar atau beg tarik kerana tidak dibenarkan. Kalau degil juga, pandai-pandailah cari tempat simpanan dekat hentian utama.
  • Anda boleh mula dari mana-mana hentian. Tak perlu jadi yang pertama beratur.
  • Bawa fon telinga sendiri kalau tak suka guna yang disediakan.
  • Kanak-kanak bawah 3 tahun boleh ikut percuma.

Berbaloi Atau Tidak?

Bagi MURAI, dengan harga bermula sekitar AU$73.00, ini memang pilihan paling waras untuk melihat Sydney. Tak perlu sakit kaki berjalan jauh, tak perlu pening kepala menyewa kereta dan berdoa parking ada, dan yang paling penting, tak perlu buat muka tebal telefon bank sebab kredit kad dah over limit.

Kalau anda memang jenis yang suka semua benda mudah, cepat, dan tak nak bazir duit, naik Big Bus Hop-On Hop-Off ini memang berbaloi. Sambil belajar sejarah bandar, sambil jimat masa dan tenaga.

Terima kasih kepada AirAsia X dan Tourism New South Wales kerana kenalkan cara paling chill, paling masuk akal untuk jelajah Sydney sempena Vivid Sydney 2025. Tak perlu stress. Duduk saja, dengar cerita, ambil gambar, siap.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |