M Nasir Hadir Dengan CIPTA RAYA Di Zepp KL Pada 13 April Ini, Peminat Boleh Nikmati Juadah Raya Sambil Berhibur!

9 hours ago 5

Pada saat peminat masih belum move on dengan dua siri Konsert CIPTA 1 & 2 M. Nasir, sifu seni tersohor negara ini kembali dengan sebuah lagi konsert. Ya, anda tidak salah membaca atau silap mendengar. Dato’ M. Nasir akan kembali dengan sebuah konsert di tahun 2025 ini.

Paling mengujakan, pemiliki nama sebenar Mohamad Nasir Mohamed Sam, 67, ini hadir dengan sebuah konsert yang tidak pernah dianjurkan secara mega sepanjang
karier seninya.

Cipta Raya, sebuah konsert dengan tema mengangkat martabat lagu-lagu raya akan dianjurkan oleh Icon Entertainment pada 13 April 2025 di Zepp KL.

CIPTA RAYA Spin Off Daripada CIPTA 2

Sesuai namanya Cipta Raya, konsert ini akan dipenuhi lagu-lagu raya. Dan Cipta Raya dibikin khusus secara spin off oleh Icon Entertainment sebagai apresiasi dan membuktikan bahawa semua genre lagu boleh diraikan dalam skala konsert jika mempunyai konsep yang betul.

“Cipta Raya adalah sebuah spin off daripada konsert Cipta 2 M. Nasir yang diakhiri dengan lagu raya, Satu Hari Di Hari Raya yang mendapat sambutan dan menjadi tular berminggu-minggu pada tahun lalu.

Dari situ timbul ilham untuk Icon Entertainment membuat spin off konsert yang pertama kali diadakan sebab biasanya konsep ini diguna pakai dalam filem.

Namun melihat sambutan dan M.Nasir punya banyak karya raya sama ada nyanyian sendiri atau dicipta untuk penyanyi lain, kita fikir kenapa tidak anjurkan Cipta Raya?

Cipta Raya ini juga yang dibuat dalam bulan raya sebagai sebuah keraian di Aidilfitri,” ujar Pengasas Icon Entertainment, Iman Tang

Bakal Persembahkan Sekitar 20 Buah Lagu

Cipta Raya menurut Iman Tang lagi akan menyaksikan M. Nasir mempersembahkan sekitar 20 buah lagu dengan 17 daripadanya merupakan karya bersifat hari raya.

“Cipta Raya akan dipenuhi lagu raya bukannya lagu popular M. Nasir. Maksudnya beliau akan mendendangkan lagu karya karya beliau dan juga lagu raya nyanyian penyanyi lain yang menjadi kegemaran beliau.

Apakah judul lagu-lagu raya kegemaran M. Nasir dan akan didendangkan pada Cipta Raya, 13 April 2025 ini, nantikan!”ujar Iman Tang lagi.

Tiket Cipta Raya boleh dibeli menerusi www.ticket2u.com.my mulai 5 Mac 2025. Juadah raya akan mula disajikan bermula jam 6 petang sebelum konsert bermula pada pukul 8.30 malam.

Maka, sepanjang Aidilfitri boleh simpan duit raya untuk beli tiket Cipta Raya!

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |