Jeritan Terakhir Zara Qairina, “Aku Tidak Mencuri Bah, Bodoh” Sebelum Ditemui Tidak Sedarkan Diri

3 hours ago 2

Allahyarham Zara Qairina Mahathir sempat menangis dan menjerit kata-kata terakhirnya “aku tidak mencuri bah, bodoh,” selepas keluar dari sebuah bilik asrama bersebelahan biliknya pada malam 15 Julai lalu. Perkara itu didedahkan Ketua Warden, Azhari Abd Sagap ketika memberi keterangan pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan, berhubung punca kematian pelajar berusia 14 tahun itu.

Menurut Azhari, insiden bermula apabila seorang pelajar tingkatan satu mengadu kehilangan duit dan barang kepada ketua bilik. Aduan itu menyebabkan Zara dipanggil dan ditanya sama ada dia mencuri. Zara menafikan dengan bersumpah menggunakan lafaz “wallahi” bahawa dia tidak melakukannya. Namun, ketika pelajar tingkatan satu memeriksa loker dan beg Zara, mereka menemui pin bendera Malaysia yang didakwa milik ketua dorm.

“Pada masa itu ketua dorm turut mengajukan soalan kepada Zara, namun arwah tetap tidak mengaku. Ada sedikit kata kesat yang dikeluarkan oleh ketua dorm, dan Zara sekali lagi disuruh bersumpah. Selesai situasi itu, Zara keluar sambil menangis dan menjerit kata-kata tersebut,” jelas Azhari.

Tambahnya lagi, Zara dilihat kali terakhir menuju ke tandas selepas kejadian tersebut sebelum ditemui tidak sedarkan diri di bawah bangunan asrama pada awal pagi 16 Julai.

Azhari turut menceritakan bahawa siasatan awal warden dibuat pada 16 Julai di bilik isolasi asrama perempuan dan mussolah sekolah. Hasil siasatan itu, katanya, disampaikan kepadanya melalui kumpulan WhatsApp Warden ketika beliau berada di Hospital Queen Elizabeth (HQE). Ia turut disertakan dengan pengakuan bertulis lima pelajar mengenai apa yang berlaku sebelum Zara ditemui tidak sedarkan diri.

Pendedahan itu sekali gus menambah lagi persoalan mengenai tekanan emosi yang mungkin dialami arwah sebelum tragedi menimpa dirinya.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |