[VIDEO] Kisah Bagaimana Jubah Nabi Muhammad Ini Boleh Berada Di Sebuah Masjid Di Istanbul

16 hours ago 6

MURAI berpeluang menjejakkan kaki ke Istanbul baru-baru ini, atas jemputan Türkiye Tourism Promotion and Development Agency (TGA). Dalam banyak tempat menarik yang kami lawati, salah satu yang paling istimewa pastinya Masjid Hırka-ı Şerif. Bukan sekadar masjid biasa, di sini tersimpan sesuatu yang sangat berharga – jubah milik Nabi Muhammad SAW! Lebih menarik, jubah ini hanya dipamerkan sekali setahun, iaitu pada bulan Ramadan. Kami rasa sangat bertuah kerana dapat melihatnya dengan mata sendiri.

Sejarah bagaimana jubah ini boleh berada di Istanbul memang unik. Mengikut kisah, jubah ini asalnya diberikan oleh Nabi Muhammad kepada seorang lelaki bernama Owais Qarni, seorang yang sangat berbakti kepada ibunya tetapi tidak sempat bertemu dengan Nabi secara langsung.

Kisah Owais Qarni telah menarik perhatian ulama Islam selama berabad-abad kerana keistimewaannya dalam Islam. Walaupun tidak pernah bertemu dengan Nabi Muhammad, beliau dianggap sebagai sahabat baginda. Qarni berasal dari Yaman dan berhasrat untuk bertemu Nabi di Madinah, tetapi terpaksa pulang untuk menjaga ibunya yang sakit. Menyedari pengorbanan Qarni, Nabi meminta sahabatnya, Omar dan Ali, untuk menyerahkan jubahnya kepada Qarni sebagai penghormatan. Sejak itu, keturunan Qarni menjadi penjaga jubah berwarna emas yang terkenal itu.

Pada tahun 1611, Sultan Uthmaniyyah, Ahmet I, mengetahui tentang jubah itu dan berhasrat untuk memilikinya. Namun, ulama menasihatinya agar tidak mengambilnya kerana ia dianggap bertentangan dengan kehendak Nabi. Sebagai alternatif, baginda menjemput keluarga Qarni untuk tinggal di Istanbul bagi memastikan jubah itu kekal dalam penjagaan mereka.

Akhirnya, ia ditempatkan di sebuah masjid khas yang dikenali sebagai Masjid Hırka-ı Şerif, sempena nama jubah tersebut.

Bagi yang ingin melihat jubah ini, jangan risau, tiada bayaran dikenakan. Anda hanya perlu beratur selepas waktu solat, dan pengalaman ini memang berbaloi. Jubah ini terletak di tingkat atas masjid dan ditempatkan dalam peti kaca untuk memastikan ia terus terpelihara. Walaupun tidak boleh disentuh, dapat melihatnya dari dekat sudah cukup memberikan rasa syahdu dan kagum.

Jadi, kalau anda ada peluang ke Istanbul pada bulan Ramadan, jangan lepaskan peluang untuk melawat Masjid Hırka-ı Şerif. Bukan sahaja dapat menikmati keindahan seni bina Uthmaniyyah, tetapi juga menyaksikan sendiri salah satu peninggalan terpenting dalam sejarah Islam. Percayalah, ia akan menjadi pengalaman yang sukar dilupakan!

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |