Malaysia Airlines kini tampil dengan gaya baru untuk penumpang premium! Kali ni, mereka perkenalkan suite kelas perniagaan yang boleh dibaringkan sepenuhnya (flatbed) dalam pesawat baharu mereka – Boeing 737-10 MAX. Kalau sebelum ni tempat duduk flatbed ni biasa kita jumpa dalam penerbangan jarak jauh, kali ni anda boleh nikmati keselesaan itu walaupun untuk penerbangan dalam rantau Asia sahaja. Best, kan?
Setiap pesawat 737-10 MAX akan ada 12 suite mewah, dan yang paling menarik – semua tempat duduk ada akses terus ke lorong. Jadi tak perlu dah panjat kaki penumpang sebelah kalau nak ke tandas!
Malaysia Airlines sudah tempah 12 pesawat jenis ini, dan ada pilihan untuk tambah 15 lagi. Pesawat ini akan digunakan bersama dengan model 737-8 MAX yang sudah sedia ada, menggantikan pesawat lama mereka 737-800 yang makin berumur.
Walaupun belum pasti lagi bila pesawat pertama akan sampai – sebab masih tunggu kelulusan dari pihak berkuasa penerbangan Amerika Syarikat (FAA) – Malaysia Airlines ada perancangan nak guna 55 buah pesawat 737-8 dan 737-10 menjelang tahun 2030.
Tempat duduk flatbed yang baru ni pula bukan calang-calang. Ia adalah model Ascent daripada Adient Aerospace – satu kerjasama antara Boeing dan syarikat tempat duduk kereta Adient. Reka bentuk dia nampak moden, selesa, dan sangat sesuai untuk penumpang yang nak rasa macam naik ‘first class’, walaupun cuma dalam penerbangan jarak dekat.
Malaysia Airlines pun dah kongsikan gambar konsep tempat duduk baru ini, dan memang nampak eksklusif dan premium. Pendek kata, lepas ni kalau naik kelas perniagaan Malaysia Airlines dalam penerbangan serantau, rasa dia macam terbang ke London!
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.