Prihatin! Artis Malaysia Beli Makanan Online Untuk Diberikan Secara Percuma, ‘Rider’ Indonesia Terharu

8 hours ago 6

Prihatin dengan kemelut yang sedang melanda negara jiran, pelakon dan usahawan Puteri Sarah Liyana tampil menghulurkan bantuan dengan caranya yang tersendiri.

Menerusi perkongsian di Threads, Puteri Sarah berkongsi bahawa beliau membeli makanan secara dalam talian daripada sebuah restoran di Jakarta dan menyerahkan pesanan itu sebagai sedekah kepada pemandu penghantaran e-hailing yang menerima tempahan tersebut.

Langkah kecil itu baginya menjadi tanda solidariti terhadap para pemandu serta penghantar makanan yang kini terjejas pendapatan harian akibat ketidaktentuan politik di Indonesia.

“Alhamdulillah sudah melakukan bahagian saya. Lekas sembuh Indonesia,” tulisnya ringkas, namun sarat makna. Perkongsian itu disertakan dengan tangkap layar transaksi yang menunjukkan betapa seriusnya beliau dalam menjayakan inisiatif itu.

Usaha murni Puteri Sarah ini tidak bersendirian kerana pelakon Catriona Ross turut menyertai gerakan yang sama. Catriona memesan makanan melalui aplikasi penghantaran di Jakarta dan Makassar, sebelum disedekahkan kepada mereka yang memerlukan.

Beliau sempat menitipkan pesan agar orang ramai yang tidak bersetuju dengan langkah itu memilih untuk berdiam, manakala mereka yang ingin membantu dipersilakan menyumbang mengikut kemampuan.

“Buat Indonesia, semoga esok akan lebih bercahaya,” katanya penuh harapan.

Sejak semalam, semakin ramai rakyat Malaysia mengikuti jejak mereka dengan memesan makanan melalui platform penghantaran di Indonesia untuk disalurkan kepada pemandu e-hailing atau keluarga yang terjejas.

Fenomena ini turut mendapat perhatian kerana bukan sahaja warganet tempatan, malah masyarakat dari negara Asia lain seperti Singapura, Thailand, Vietnam dan Filipina juga melakukan perkara sama.

Inisiatif spontan ini membuktikan bahawa semangat kemanusiaan merentasi sempadan. Meskipun sekadar memesan makanan dari jauh, ia mampu memberi senyuman kepada mereka yang sedang bergelut mencari rezeki dalam situasi genting. Sikap prihatin yang ditunjukkan oleh Puteri Sarah, Catriona Ross dan masyarakat serantau memberi isyarat jelas bahawa dalam waktu sukar, sedikit bantuan mampu membawa sinar besar buat mereka yang diuji.

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |