Tidak prejudis dan enggan menambahkan lagi beban kepada bekas isterinya, penyanyi serta cef selebriti Datuk Fazley Yaakob tampil bersuara mengenai isu tular melibatkan Azrene Soraya Abdul Aziz yang tidak lagi berhijab selepas berpisah. Bagi Fazley, tindakan tersebut tidak sepatutnya dijadikan bahan kecaman atau penghakiman oleh masyarakat kerana ia merupakan pilihan peribadi yang tidak menggambarkan keseluruhan keperibadian seseorang.
“Saya tetap akan melindungi bekas isteri sampai ke hujung hayat. Apabila dia membuat keputusan untuk buka tudung, itu sesuatu yang orang baru nampak. Tetapi sebenarnya, sejak dari awal perkahwinan, dia memang begitu. Jadi, bagi saya, kita tidak boleh menilai buruk atau baik seseorang hanya kerana tudung di kepala. Bertudung atau tidak, itu pilihan peribadi,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Flavour Kahwin anjuran Sushi Plus.
Menurut pelantun Asmara Ini itu lagi, hijab sememangnya mempunyai keindahan tersendiri, namun tidak bermakna wanita yang memilih untuk tidak menutup aurat harus dipandang serong. Baginya, setiap individu memiliki perjalanan hidup dan alasan tersendiri dalam membuat keputusan. “Bersangka baik itu indah, tetapi jangan sampai kita letakkan syarat bahawa orang tidak bertudung berniat buruk. Ramai wanita bertudung di rumah tetap berpakaian seksi untuk suami, begitu juga sebaliknya. Jadi jangan mudah menghukum,” ujarnya lagi.
Sebelum ini, tular sebuah rakaman video yang memperlihatkan Azrene tanpa hijab sehingga mengundang pelbagai reaksi dan perdebatan di media sosial. Ada yang menyokong, tidak kurang juga yang melontarkan kata-kata kecaman. Namun Fazley memilih untuk berdiri sebagai pelindung, meskipun hubungan rumah tangga mereka sudah berakhir.
Untuk rekod, Fazley dan Azrene mendirikan rumah tangga pada 2006 dan hasil perkongsian hidup selama hampir dua dekad, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Ahmad Fariedz Shah, 16, Ahmad Fieradz Shah, 15, Ahmad Fierudz Shah, 14, serta Alayna Selma, 8. Pasangan itu sah bercerai pada Oktober 2024 selepas penyanyi tersebut memfailkan perceraian beberapa bulan sebelumnya.
Dalam perkembangan lain, Fazley kini sibuk mengembangkan kerjaya kulinari dengan memperkenalkan menu fusion terbaharu bersama Sushi Plus. Kolaborasi bersama chef residen, Chef Hugo itu melahirkan empat sajian bermusim unik gabungan cita rasa Malaysia dan teknik sushi Jepun antaranya Nasi Lemak Sambal Idako, Beef Cili Api Sushi, Pulut Rendang Ayam Sushi serta Nasi Kerabu Unagi Sushi, yang menurutnya mampu menjadi tarikan baharu buat penggemar makanan tempatan dan antarabangsa.