[VIDEO] Pelajar Dikatakan Tak Sensitif, UITM Beri Penjelasan

2 days ago 15

Baru-baru ini, tular di media sosial X perkongsian @YuenA_9 satu video memaparkan sekumpulan pelajar dari UiTM Dengkil yang mengenakan jubah putih serta topi runcing menutup muka semasa menyertai sebuah acara di kolej mereka.

Netizen dengan pantas mengaitkan pakaian tersebut dengan pakaian ikonik Ku Klux Klan (KKK) – sebuah organisasi ekstremis kulit putih dari Amerika Syarikat yang terkenal dengan ideologi perkauman dan keganasan terhadap kaum minoriti, khususnya komuniti kulit hitam.

Reaksi masyarakat tempatan bercampur-baur. Ada yang melihatnya sebagai satu kesilapan yang tidak disengajakan, mungkin pelajar hanya ingin memberi pendedahan dengan lebih mudah dalam topik yang dipelajari.

Namun, tidak kurang juga yang menzahirkan kebimbangan terhadap sensitiviti budaya dan kepentingan pendidikan serta simbol global dalam kalangan pelajar.

Apa Sebenarnya yang Berlaku?

Menurut kenyataan rasmi pihak UiTM, pakaian tersebut adalah sebahagian daripada tugasan akademik oleh pelajar Pusat Asasi UiTM bagi sesi pembentangan kursus Contemporary Global and Legal Issues.

Mereka mendakwa tidak mempunyai sebarang niat untuk menyentuh isu perkauman atau mempromosikan ideologi kebencian. Malah, pelajar yang terlibat dikatakan hanya ingin menggalakkan pemikiran kritikal dan kesedaran terhadap isu-isu hak asasi manusia di peringkat antarabangsa.

Pensyarah serta pihak fakulti terbabit turut memastikan pembentangan dijalankan secara terkawal, berlandaskan prinsip akademik, tanpa menyentuh sensitiviti agama, budaya mahupun perkauman.

“Kostum serta elemen visual yang digunakan bertujuan membantu meningkatkan kefahaman dan penghayatan terhadap topik yang dibentangkan, serta memberi gambaran lebih menyeluruh dari perspektif sejarah dan global. Tiada sebarang elemen penghinaan terhadap mana-mana agama disebut atau dibincangkan sepanjang sesi tersebut berlangsung.”

Masih Dalam Siasatan Polis

Pihak polis mengesahkan menerima satu laporan semalam berhubung video tular yang memaparkan sekumpulan penuntut pusat asasi Universiti Teknologi Mara (UiTM) kampus Dengkil berpakaian menyerupai kostum kumpulan pelampau bangsa.

Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Norhizam Bahaman berkata, video itu dipercayai adalah sebahagian daripada hasil tugasan pelajar UiTM yang berkaitan dengan ahli kumpulan Ku Klux Klan (KKK).

“Kes masih dalam siasatan polis dan orang ramai dinasihat tidak membuat sebarang spekulasi atau berkongsi berita tidak benar yang boleh menyebabkan kegusaran awam,” katanya.

Insiden pelajar UiTM Dengkil dengan jubah mirip KKK ini menjadi peringatan penting bahawa dalam dunia yang semakin bersatu oleh media dan teknologi, setiap tindakan dan simbol membawa makna yang jauh lebih besar. Ia mengajar kita bahawa kepekaan budaya bukan satu pilihan tetapi satu keperluan. Namun, sebagai pengguna media, adalah penting untuk kita mengkaji dan melihat secara menyeluruh tentang apa yang dikongsi di media sosial kini sebelum menghukum.

Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini. 

Read Entire Article
Info Parlemen | | | |