Pempengaruh media sosial dan artis kesan khas terkenal dari Malaysia, Sofyank, baru-baru ini tidak dapat menyembunyikan keterujaannya selepas berpeluang bertemu secara bersemuka dengan bintang Hollywood, Tom Cruise, di acara tayangan perdana filem Mission: Impossible – The Final Reckoning di Tokyo, Jepun.
Sofyank, yang sememangnya mengagumi Tom Cruise sejak kecil, meluahkan rasa syukur dan terharu dalam hantaran media sosialnya. Dia mengungkapkan betapa besar makna pertemuan tersebut kerana Tom Cruise bukan sahaja seorang idola, tetapi juga sumber inspirasi dalam dunia pembikinan filem. “Hai @tomcruise! Saya sudah menonton filem-filem anda sejak kecil, dan karya anda memberi inspirasi kepada ramai pembikin filem di seluruh dunia,” tulis Sofyank, turut menyatakan rasa hormat terhadap aksi lagak ngeri Tom Cruise yang sangat mengagumkan.
Bagi Sofyank, peluang bertemu dengan pelakon legenda itu adalah sesuatu yang tidak pernah terlintas dalam hidupnya. “Berdiri di sebelah anda pada detik itu benar-benar satu impian seumur hidup yang menjadi kenyataan. Saya tidak pernah membayangkan akan mendapat peluang ini,” ujarnya, meluahkan kegembiraan yang meluap-luap.
Dalam hantaran yang sama, Sofyank tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Tom Cruise atas keramahan dan kesediaannya menghargai peminat di seluruh dunia. “Terima kasih kerana menjadi seorang legenda dan kerana begitu baik terhadap peminat anda di seluruh dunia. Ia benar-benar satu penghormatan dapat bertemu dengan anda. Saya akan menyimpan kenangan ini sebagai memori emas dalam hidup saya. Terima kasih, Tom!” katanya.
Selain itu, Sofyank turut berkongsi mengenai rancangan penggambaran kesan khas yang dijalankan bersama bintang Hollywood itu. Dikenali dengan kepakaran dalam suntingan visual dan video ilusi realiti, Sofyank sering menghasilkan kandungan kreatif yang diinspirasikan oleh dunia Hollywood dan telah mendapat perhatian antarabangsa, termasuk daripada selebriti terkenal dan produksi luar negara.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.