Dalam era digital yang semakin berkembang, bahasa yang digunakan oleh Generasi Z (Gen Z) mengalami perubahan yang ketara. Perkataan dan frasa baharu makin banyak yang muncul. Hal ini berlaku mungkin kerana dipengaruhi oleh media sosial, budaya popular dan trend semasa. Namun, timbul persoalan, adakah perubahan ini suatu evolusi bahasa atau kemerosotan dalam penggunaan bahasa yang betul?
Pengaruh Media Sosial dan Teknologi
Gen Z merupakan generasi yang membesar dengan teknologi. Dengan adanya platform seperti TikTok, Twitter, dan Instagram, komunikasi menjadi lebih ringkas dan ekspresif. Akibatnya, banyak istilah baharu dicipta seperti “slay,” “vibes,” “ghosting,” dan “cap,” yang mungkin kedengaran asing bagi generasi sebelumnya. Selain itu, akronim seperti “LOL” (laugh out loud), “OMG” (oh my god), dan “BRB” (be right back) semakin kerap digunakan dalam perbualan harian.
Baru-baru ini, pemilik akau Thread @unicornisreal66 telah berkongsi istilah bahasa Gen Z yang terkini dan telah mendapat pelbagai reaksi netizen
“Pernah dengar matmot? rupanya mat motor..apebendaa la”
“Mencapab for mencari publisiti”
“Dugem (dunia gemerlapan)”
“Semua nak short form, lama2 pakai bahasa ni otak jadi shot”
“Geli tengok bahasa gini”
“please lah Genz, don’t normalise the shortfom like that”
Rata-rata netizen meluahkan rasa kecewa dengan bahasa baharu yang mula menjadi kebiasaan generasi kini. Ada juga yang memberi pendapat bahawa bahasa singkatan ini adalah bermula daripada negara jiran (Indonesia).
“Dah lama pakai, those are Indo words, bukan genz”
“please jangan downgrade bahasa kita sampai tahap shotform ikut negara jiran”
“Ni bukan gen Z, ni Indo shortform”
“We gen Z x claim ni”
Makin Santai dan Tidak Formal
Berbanding generasi terdahulu yang lebih cenderung kepada penggunaan bahasa yang formal, Gen Z lebih gemar berkomunikasi secara santai. Mereka sering menggunakan slanga dan bahasa ringkas seperti “idk” (I don’t know), “btw” (by the way), atau “tbh” (to be honest). Diyakini berpunca daripada pengaruh media sosial, seperti TikTok dan WhatsApp menggalakkan lagi penggunaan bahasa ringkas.
Penggunaan slanga boleh menjejaskan kemahiran menulis formal. Jurang antara generasi menyebabkan hubungan komunikasi dengan generasi terdahulu menjadi sukar. Hal ini juga menjadi cabaran terhadap situasi formal seperti pergaulan di alam sekolah dan alam pekerjaan. Ini menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pendidik dan pihak berwajib yang melihat trend ini sebagai satu ancaman kepada keindahan bahasa rasmi.
Adakah Bahasa Gen Z Mempengaruhi Bahasa Rasmi?
Sebilangan pihak berpendapat bahawa bahasa yang digunakan oleh Gen Z boleh merosakkan struktur bahasa yang betul. Namun, ada juga yang berpendapat bahawa ini adalah sebahagian daripada evolusi bahasa. Bahasa sentiasa berubah mengikut zaman, dan ini bukanlah kali pertama sesuatu generasi memperkenalkan cara bertutur yang berbeza. Sebagai contoh, perkataan seperti “otai” dan “cun” yang popular dalam kalangan Generasi X dan Y dahulunya juga dianggap pelik, tetapi kini diterima dalam komunikasi harian.
Bahasa Gen Z mungkin kedengaran pelik bagi generasi terdahulu, tetapi ia mencerminkan perkembangan budaya dan teknologi masa kini. Perubahan ini boleh dianggap sebagai satu evolusi, selagi ia tidak mengabaikan asas tatabahasa dan penggunaan bahasa rasmi dalam situasi yang memerlukannya. Mungkin, daripada mengkritik, kita boleh cuba memahami dan menyesuaikan diri dengan perubahan ini, kerana bahasa adalah cerminan zaman dan generasi yang menggunakannya.
Jangan lupa langgani saluran Instagram, Facebook dan Telegram Murai.MY untuk berita hiburan terkini.